Siakap Keli
r-naught covid-19

Kes COVID-19 Boleh Naik Mendadak Jika R-Naught Lebih 1.6, Dr. Hisham Rayu Orang Ramai Patuh SOP

Putrajaya, 23 Julai – Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah merayu agar orang ramai mematuhi prosedur operasi standard (SOP). Katanya, kes COVID-19 di Malaysia boleh naik mendadak jika r-naught meningkat melebihi 1.6.

“Walau kes kita berkurangan, tapi apa yang pasti, sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), R-naught kita ialah 3.55. Bermakna seorang akan menjangkiti 3.55 orang, jadi kalau sepuluh orang akan menjangkiti 35.5 orang.

“Bila kita laksanakan PKP 1, 2, 3 dan teruskan dengan PKPB, kita dapat menurunkan R-naught daripada 3.55 kepada kurang daripada 0.3.

“Ini bermakna kita dalam fasa pemulihan dan kita lihat tempoh tiga minggu lepas hingga 1 Julai, kes semakin berkurangan iaitu satu angka. Kita juga berjaya mencapai kes sifar selama tiga hari berturut-turut,” katanya.

Namun begitu tambah beliau, kes kebolehjangkitan  di Malaysia telah berganda berbanding 9 Julai dengan pertambahan daripada 63 kes kepada 143 kes berkebolehjangkitan.

Oleh itu katanya, jika r-naught meningkat, beerti semakin ramai akan dijangkiti.

“Hari ini r-naught kita ialah 1.36 dan apa yang membahayakan kita ialah jika r-naught meningkat lebih daripada 1.6, beerti kita akan mendapat peningkatan kes secara mendadak dalam tempoh masa yang terdekat.

“Jadi saya merayu kepada rakyat Malaysia untuk patuh kepada SOP.”

Nasihat beliau, hanya ada 3 perkara kita perlu laksanakan iaitu penjarakan sosial sekurang-kurangnya satu meter, memakai topeng muka dan membasuh tangan.

“Kita boleh wajibkan diri dan keluarga kita memakai facemask. Kalau kita pakai facemask, kita dapat kurangkan 60 peratus daripada penularan jangkitan COVID-19.

“Kalau kita mengamalkan penjarakan sosial satu meter, kita dapat mengurangkan (risiko) penularan jangkitan COVID-19 65 peratus,” ujarnya menambah agar orang ramai kerap membasuh tangan.

“Sama-samalah kita jaga kita, kita jaga keluarga kita, kita jaga masyarakat dan kita jaga negara kita,” katanya.

Sumber: KKM

Amira

Love yourself.

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.