Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Kerajaan Putuskan Tidak Ekstradisi Dr Zakir Naik Ke India - Saifuddin

Dr Zakir Naik
Kredit: Bernama

Kerajaan Malaysia telah memutuskan untuk tidak mengekstradisi Dr Zakir Naik ke India dan tidak memberikan sebarang komitmen untuk berbuat demikian.

Perkara itu dimaklumkan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menerusi jawapan bertulis susulan pertanyaan Ahli Parlimen Pengkalan Chepa, Datuk Dr Ahmad Marzuk Shaary di Dewan Rakyat pada Isnin.

Saifuddin berkata tiada sebarang permohonan ekstradisi terbaru yang diterima oleh pihak kerajaan buat masa ini.

“Sebelum ini permohonan rasmi ekstradisi ke atas Dr Zakir Naik daripada kerajaan India telah diterima pada 19 Januari 2018.

“Kerajaan juga telah menerima nota diplomatik daripada Kerajaan India yang memohon pertimbangan semula pada 29 Mei 2020.

“Kerajaan Malaysia telah memutuskan untuk tidak mengekstradisi Dr. Zakir Naik ke India. Oleh itu, tiada sebarang komitmen diberikan untuk mengekstradisi beliau,” katanya.

Menurutnya, keputusan itu dibuat berdasarkan hak Malaysia di bawah Artikel 6 Triti Ekstradisi yang ditandatangani bersama Kerajaan India pada 2010 serta peruntukan Akta Ekstradisi 1992.