Siakap Keli
Kredit: Google

TERKINI: Tiga Lagi Kluster Baru COVID-19 Dikenalpasti- KKM

Putrajaya, 24 Julai – Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan tiga lagi kluster baru COVID-19 hari ini menjadikan jumlah kluster sejak 1 Julai adalah sebanyak 18 kluster.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, tiga kluster tersebut melibatkan kes import.

Berikut merupakan maklumat kluster-kluster berkenaan.

Kluster Elsa

Kes indeks kluster ini adalah seorang bukan warganegara (iaitu kes ke-8839) yang merupakan seorang krew kapal.

Beliau mempunyai sejarah perjalanan menaiki kapal terbang dari Filipina dan transit di Korea dan memasuki Malaysia pada 16 Julai 2020 untuk mula bekerja.

Saringan COVID-19 di Filipina pada 14 Julai 2020 dilaporkan negatif. Beliau kemudiannya menaiki kapal terbang ke Kuantan dan bermalam di sebuah hotel di sana, sebelum dibawa ke kapal untuk menjalani kuarantin di atas kapal setelah mendapat kelulusan Jabatan Laut.

Lima hari kemudiannya iaitu pada 20 Julai 2020, beliau mula mengalami gejala. Beliau dikesan positif pada 22 Julai 2020 dan telah dimasukkan ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Pahang.

Susulan itu saringan kontak rapat telah dijalankan dan setakat ini seramai 108 telah disaring di mana:

Tiga dikesan positif COVID-19 (yang melibatkan dua bukan warganegara dan satu warganegara);
48 negatif; dan 57 masih menunggu keputusan.

Kluster PUI Ramnad

Kes indeks kluster ini merupakan seorang warganegara Malaysia yang telah pulang ke Malaysia dari negara India pada 6 Julai 2020 (iaitu kes ke-8817).

Saringan COVID-19 di Pintu Masuk Antarabangsa KLIA didapati negatif. Beliau telah menjalani Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO) dan mula mengalami gejala ringan pada 19 Julai 2020.

Saringan hari ke-13 HSO didapati positif dan beliau telah dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh, Selangor.

Susulan itu, siasatan dan saringan kontak rapat telah dijalankan. Setakat ini seramai 18 orang telah disaring dan mereka terdiri daripada enam (6) ahli keluarga dan 12 penumpang pesawat. Daripada jumlah ini:

Dua dikesan positif COVID-19 (iaitu kedua-dua adalah ahli keluarga kes indeks), 13 negatif dan 3 lagi masih menunggu keputusan.

Kluster PUI Al Khobar

Kes indeks kluster ini merupakan seorang warganegara Malaysia yang telah pulang ke Malaysia dari negara Arab Saudi pada 10 Julai 2020 (iaitu kes ke-8803).

Saringan COVID-19 di Pintu Masuk Antarabangsa KLIA didapati negatif.

Beliau telah menjalani HSO bersama lima (5) orang ahli keluarga di rumah keluarga mereka, di mana kelima-lima mereka ini juga telah pulang dari Arab Saudi bersama kes indeks menaiki pesawat yang sama.

Rumah keluarga tersebut turut didiami oleh dua orang ahli keluarga yang lain.

Kes indeks mula mengalami gejala pada 18 Julai 2020 dan dikesan positif COVID-19 pada 20 Julai 2020.

Susulan itu, tujuh orang ahli keluarga beliau telah disaring di mana satu dikesan positif COVID-19 dan enam negatif.

Siasatan dan saringan kontak rapat sedang diteruskan termasuk saringan penumpang lain pesawat yang dinaiki kes indeks kluster ini.

Susulan itu, KKM menggesa pengembara yang telah pulang ke Malaysia agar sentiasa mematuhi syarat ditetapkan ketika menjalani kuarantin kendiri di rumah.

Berikut merupakan Garis Panduan Pengurusan COVID-19 di Malaysia menurut KKM:

  • Memakai pelitup separuh muka (facemask)sepanjang perjalanan dari Pintu Masuk Antarabangsa ke rumah.
  • Memakai facemask di rumah sekiranya penjarakan sosial yang selamat iaitu sekurang-kurangnya 1 meter daripada orang lain (social distancing) sukar diamalkan;
  • Jika bergejala, hubungi Pejabat Kesihatan Daerah yang terdekat.
  • Gelang perintah pengawasan wajibdipakai sepanjang masa perintah pengawasan dan pemerhatian.
  • Menjalani ujian COVID-19 pada hari ke-13 di Klinik Kesihatan / klinik swasta yang diiktiraf oleh KKM dan mendapatkan salinan keputusan ujian tersebut.
  • Hadir ke Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) yang terdekat dengan laporan ujian COVID-19 untuk mendapatkan pelepasan daripada menjalani perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah, serta untuk menanggalkan gelang perintah pengawasan pada hari ke-14 oleh PKD.

Sementara itu, ahli keluarga individu terlibat juga perlu mematuhi prosedur dan memastikan ada penjarakan sosial bagi mengelakkan penularan dalam kalangan ahli keluarga.

Sumber: KKM

Amira

Love yourself.