Siakap Keli
Gambar sekadar hiasan

Wanita Jual Gelang Dakwa Boleh Cegah Dijangkiti Covid-19 Dikompaun RM50,000

Putrajaya: Seorang ejen jualan langsung dikompaun RM50,000 kerana mempromosikan gelang tangan di laman sosial yang didakwa mampu mencegah jangkitan COVID-19.

Pengarah Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Iskandar Halim Sulaiman berkata pihaknya telah mengesan satu isu yang tular di laman sosial Facebook berkenaan promosi produk gelang tangan berharga RM580 yang dikatakan mampu mencegah wabak itu.

Katanya bertindak atas aduan tersebut, sepasukan pegawai penguat kuasa KPDNHEP telah melakukan pemeriksaan dan menyoal siasat seorang wanita iaitu ejen sebuah syarikat jualan langsung yang mempromosikan produk gelang tangan berkenaan melalui laman Facebook miliknya.

“Tindakan wanita itu yang telah mempromosikan produk dengan memberi pernyataan mengelirukan didapati melakukan kesalahan di bawah Seksyen 10(1)(h) Akta Perlindungan Pengguna 1999 dan seterusnya kompaun maksimum sebanyak RM50,000 telah ditawarkan kepada ejen jualan langsung berkenaan pada hari ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Iskandar Halim berkata sekiranya kompaun gagal dibayar dalam masa yang ditetapkan, individu terbabit akan dituduh di mahkamah.

Jelasnya, penalti bagi kesalahan itu adalah di bawah Seksyen 25 Akta Perlindungan Pengguna 1999 iaitu bukan suatu pertubuhan perbadanan yang melakukan kesalahan, didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

Bagi kesalahan kali kedua atau berikutnya, boleh didenda tidak melebihi RM250,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya, katanya.

“KPDNHEP serius dalam memastikan pengguna tidak terpedaya dengan promosi atau pernyataan mengelirukan mengenai kegunaan sesuatu produk,” katanya.

Selain itu, katanya semua pihak yang menjual dan mempromosikan produk perlu sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang yang ditetapkan oleh kerajaan.

— BERNAMA

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.