Siakap Keli
Gambar: Bernama

Pilihan Raya Negeri Jalan Terbaik Lerai Kemelut Politik Sabah – Penganalisis

KUALA LUMPUR, 30 Julai  — Pilihan Raya Negeri (PRN) merupakan jalan terbaik bagi meleraikan kemelut politik di Sabah dengan mengembalikan hak memilih kerajaan kepada rakyat, demikian menurut penganalisis politik.

Geostrategis Universiti Teknologi Malaysia Prof Madya Dr Azmi Hassan berkata berdasarkan senario ketika ini, tiada pihak yang mempunyai majoriti kukuh dan mampu menjamin kestabilan politik negeri.

“Sesiapa pun yang menjadi ketua menteri kesudahannya tidak ada kestabilan kerana (masing-masing) mempunyai majoriti tipis dan jalan terbaik ialah pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) dan membiarkan rakyat membuat keputusan,” katanya ketika ditemu bual dalam program Buletin Bernama  terbitan Bernama TV, hari ini.

Beliau juga yakin Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mampu mengendalikan PRN Sabah mengikut prosedur operasi standard (SOP) bagi mencegah penularan COVID-19.

Ini katanya dibuktikan menerusi pengendalian Pilihan Raya Kecil DUN Chini pada 4 Julai lalu.

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal hari ini mengumumkan pembubaran DUN Sabah bagi memberi laluan PRN yang akan diadakan dalam tempoh 60 hari.

Situasi politik di Sabah yang panas sejak kebelakangan ini memuncak semalam apabila bekas Ketua Menteri Tan Sri Musa Aman mengadakan sidang akhbar, mendakwa memperoleh majoriti mudah untuk membentuk kerajaan negeri yang baharu.

Sementara itu, penganalisis politik Dr Oh Ei Sun berkata ada dua perkara yang akan menjadi faktor penentu bagi rakyat Sabah dalam PRN tersebut iaitu keperibadian Mohd Shafie dan Musa, serta perkembangan senario politik negara.

“Dalam erti kata lain, ini seakan-akan referendum mini senario politik negara kerana Musa bersekutu dengan Perikatan Nasional (PN), sementara Mohd Shafie bersama dengan Pakatan Harapan (PH),” katanya dalam program The Nation, terbitan Bernama TV hari ini.

Pakar antropologi, penulis dan penerbit filem Dr Vilashini Somiah pula berkata rakyat Sabah, khususnya generasi muda, akan mendapatkan pencerahan pihak mana yang dapat membawa pembangunan sebenar ke negeri itu dan rakyatnya.

“Kami berada di bawah kerajaan pimpinan Warisan selama dua tahun dan kami akan menilai apakah perkara baharu yang telah mereka bawa dan apa yang masih tidak berubah, ini antara isu yang akan dibicarakan,” katanya yang juga ditemu bual dalam program sama.

Anak kelahiran Kota Kinabalu itu berkata rakyat juga akan memilih penggubal undang-undang yang boleh dipercayai, iaitu tidak pentingkan diri apabila berdepan keadaan sukar.

Sementara itu di KOTA KINABALU, pensyarah kanan Universiti Malaysia Sabah (UMS) Dr Syahruddin Awang Ahmad memberitahu Bernama keputusan membubarkan DUN adalah lebih berprinsip berbanding “mengambil orang” dan “lompat parti” bagi mendapatkan majoriti.

Pada masa sama katanya langkah itu juga menawarkan situasi menang-menang bagi semua pihak terlibat, khususnya rakyat Sabah sendiri yang kini berpeluang memilih kerajaan yang dikehendaki.

Seorang lagi pensyarah UMS Dr Ramli Dollah percaya majoriti rakyat Malaysia bersetuju pembubaran DUN Sabah adalah jalan terbaik bagi menstabilkan politik serta ekonomi negeri.

Katanya keputusan itu secara tidak langsung mengakhiri proses “tawar-menawar” yang mungkin berlaku dalam kalangan ahli DUN.

“Selagi tawar-menawar masih berlaku maka kecelaruan politik akan berterusan,” katanya.

Sumber: BERNAMA

Aqmal Ezany

I write what is right