Siakap Keli
Gambar Via LLMinfotrafik

Aliran Trafik Di Beberapa Lebuh Raya Utama Perlahan Malam Ini

KUALA LUMPUR, 30 Julai (Bernama) — Aliran trafik di beberapa lebuh raya utama didapati masih perlahan malam ini berikutan orang ramai mula pulang ke kampung halaman sempena sambutan perayaan Aidiladha esok.

Jurucakap PLUS Malaysia Berhad ketika dihubungi berkata setakat 11 malam, aliran trafik bagi perjalanan ke utara dilaporkan tinggi dari Rawang (Selatan) ke Sungai Buaya, selepas Behrang ke Sungkai, Kawasan Rehat dan Rawat (RNR) Ladang Bikam ke Gopeng, Kuala Kangsar ke Bukit Berapit dan Juru ke Plaza Tol Sungai Dua.

Beliau berkata trafik dilaporkan perlahan bagi perjalanan ke arah selatan sebelum Putra Mahkota ke Nilai Utara terus ke RNR Seremban, RNR Seremban ke Hentian Senawang (arah utara), persimpangan Skudai ke Senai Utara, serta Kulai ke Sedenak.

“Aliran trafik juga bergerak perlahan selepas bandar Serenia ke Nilai Utara kerana terdapat treler rosak di Kilometer 46.4 menyebabkan lorong tengah terhalang,” katanya.

Trafik juga perlahan bagi perjalanan arah timur sebelum masuk Plaza Tol Gombak dari MRR2; 12 kilometer selepas Hentian Gombak ke RNR Genting Sempah dan 16 kilometer dari Bukit Tinggi ke Plaza Tol Bentong.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian bebas tol Plusline di 1800-88-0000 dan laman Twitter di www.twitter.com/plustrafik atau talian LLM di 1-800-88-7752 serta laman Twitter di www.twitter.com/llminfotrafik.

— BERNAMA

Sofea

There's always another side to every story