Siakap Keli
atasi ketagihan dadah
Gambar: Hunter Michael Shephard

Lelaki Kongsi Pete ‘Si Oyen’ Jadi Penguat Semangat, Bantu Pulih Ketagihan Dadah

Perjalanan keluar dari ketagihan bukanlah satu perjalanan mudah. Hanya mereka yang melaluinya sahaja dapat merasai betapa mencabar segala ujian dan tribulasi untuk keluar dari kancah kerosakan.

Sudah tentu ia memerlukan usaha, kesungguhan dan sokongan individu sekeliling bagi menghadapi segala cabaran mendatang.

Baru-baru ini, seorang lelaki mengaku dirinya bekas penagih berkongsi kisah penghijrahan menjadi individu yang lebih sihat dan bebas dari belenggu ketagihan dadah.

Menurut Hunter Michael Shepard, antara sokongan yang beliau miliki untuk berubah ialah orang tersayang di sekeliling dan juga kucing peliharaannya, Pete.

“Nama saya Hunter. Saya seorang penagih yang sedang dalam proses pemulihan. Ini kucing saya, Pete. Ia seekor kucing yang sangat gembira dan membuatkan saya juga gembira.

Sukar untuk saya jelaskan bagaimana ia membantu saya untuk terus pulih. Saya sangat bersyukur dengannya,” tulis Hunter dalam satu komuniti pencinta kucing di Facebook.

Sebelum. (Gambar: Hunter Michael Shephard)
Selepas. (Gambar: Hunter Michael Shephard)

Perkongsian beliau telah mendapat lebih 26 ribu tanda suka dari warga Internet. Rata-rata warga maya memberikan kata semangat dan mendoakan kesembuhan sepenuhnya buat Hunter.

Kongsi Hunter, beliau mula berjinak-jinak dengan najis dadah seawal usia 12 tahun. Beliau kemudiannya mengalami ketagihan yang teruk hingga mengalami psikosis, malah pernah hampir maut gara-gara bahan itu.

Pun begitu, beliau bersyukur dengan masa lalunya yang menjadikan siapa dirinya pada hari ini. Kini, beliau sering berkongsi perjalanan pemulihan dirinya dari najis dadah di Facebook sebagai dorongan kepada orang sekeliling yang pernah atau sedang berada dalam situasi yang serupa.

Ketagihan bawa saya ke tempat kotor dan tidur di lot parkir. Ia membawa saya ke hospital ketika saya di ambang kematian atau dalam psikosis.

Bagaimanapun, tanpa penderitaan dan kesakitan itu, saya takkan temui jalan pemulihan.

Ia kedengaran gila, tetapi saya tak akan tukar masa lalu saya dengan apapun. Kegembiraan, karier dan masa depan saya semuanya berdasarkan pemulihan saya. Saya akan sentiasa bersyukur untuk itu. Saya harap kalian semua dirahmati seperti saya.

Sumber: Hunter Michael Shephard

Amira

Love yourself.

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.