Tidak Cukup Korum, Sidang Dewan Terhenti Seketika

Kuala Lumpur: Sidang Dewan Rakyat terhenti seketika petang ini apabila jumlah Ahli Parlimen yang berada di dalam dewan tidak mencukupi korum yang ditetapkan.

Perkara itu berlaku ketika Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin sedang menggulung perbahasan menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong bagi kementeriannya.

Chang Lih Kang (PH-Tanjong Malim) bangun mencelah dengan membacakan Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat 13 (1) berhubung cukup bilang bagi (korum) Majlis Mesyuarat.

Mengikut peraturan itu Jawatankuasa sebuah Majlis Mesyuarat hendaklah mengandungi 26 Ahli Parlimen dengan tidak termasuk pengerusi.

Abdul Latiff Abdul Rahman (PAS-Kuala Krai) kemudian mencelah dengan mengatakan Ahli Parlimen menunaikan solat Maghrib, manakala Tan Sri Noh Omar (BN-Tanjung Karang) mempertikaikan mengapa peraturan itu dibangkitkan kerana persidangan hampir tamat.

Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun kemudian melakukan kiraan sebelum mengarahkan loceng dibunyikan bagi memanggil Ahli Parlimen masuk ke dalam dewan.

Persidangan yang berbaki dua minit kemudian bersambung selepas bilangan Ahli Parlimen mencukupi.

Azhar turut menegur Ahli Parlimen supaya menghargai masa bagi membolehkan mereka membincangkan isu berbangkit.

“Sayangnya banyak masa yang kita buang kerana perkara-perkara yang kita buat itu, saya tidak tahulah sama ada bermotif politik atau tidak baik,” katanya.

— BERNAMA

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.

Tambah komen

Dari Wiser.my