Siakap Keli

Rusia Namakan Vaksin COVID-19 Pertama Di Dunia Sebagai Sputnik V, Imbau Kembali Era Perang Dingin

Rusia dilapor menamakan vaksin COVID-19 pertama di dunia yang didaftarkan oleh pihaknya sebagai Sputnik V untuk pasaran luar negara.

Nama berkenaan merujuk kepada era Perang Dingin dimana Sputnik adalah nama satelit pertama di dunia yang dibina Rusia ketika perang angkasa lepas dengan Amerika Syarikat.

Rusia dikatakan menganggap pencapaian dalam menghasilkan vaksin COVID-19 pertama di dunia sebagai satu kejayaan besar dan bukti kemajuan ilmu sains negaranya.

Kirill Dmitriev, Ketua Dana Pelaburan Rusia berkata, setakat ini pihaknya sudahpun menerima pesanan lebih daripada 20 buah negara membabitkan 1 bilion dos vaksin.

Beliau berkata demikin sebaik sahaja Presiden Rusia, Vladimir Putin mengumumkan kelulusan terhadap vaksin tersebut.

Malah, anak perempuan Putin dilaporkan antara individu terawal menerima suntikan vaksin tersebut.

Media antarabangsa juga melaporkan bahawa Rusia merancang untuk membuat pengeluaran secara besar-besaran bermula September ini dan penggunaan ke atas penduduk negara itu akan dilakukan bermula Oktober.

Tindakan Rusia mengumumkan kejayaan ini bagaimanapun menimbulkan pertanyaan dalam kalangan penyelidik dunia yang curiga sama ada negara kuasa dunia itu mengutamakan prestij negaranya dan mengetepikan bukti kukuh keberkesanan dan keselamatan penggunaan vaksin tersebut ke atas manusia.

Ia berikutan wujud dakwaan bahawa Rusia mungkin mengambil ‘jalan pintas’ dalam penghasilan vaksin berkenaan kerana kejayaan tersebut diumumkan selepas tidak sampai dua bulan ujian klinikal dilakukan terhadap sukarelawan.

Malah, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada minggu lepas juga menggesa Rusia agar mematuhi garis panduan antarabangsa dalam penghasilan vaksin COVID-19.

Setakat ini, Sputnik V tidak termasuk dalam senarai 6 vaksin yang memasuki fasa ketiga pembangunan iaitu ujian skala besar terhadap manusia.

Beberapa negara besar lain seperti Amerika Syarikat kini dalam fasa ketiga pembangunan vaksin COVID-19 dan produk akhir dijangka hanya berada di pasaran sekurang-kurangnya pada pertengahan 2021.

BACA: Rusia Dilapor Telah Daftarkan Vaksin COVID-19 Pertama Di Dunia, Pengeluaran Besar-Besaran Dijangka Bermula September Ini

Sumber: Economic Times, BBC, CNN

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.