Siakap Keli
Gambar: Bernama

(Video) Enam Murid Sekolah Cedera, 22 Lagi Alami Trauma Dihempap Bumbung

Melaka: Enam murid Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Malim, di sini, cedera dihempap bumbung yang runtuh di tingkat tiga bangunan sekolah itu akibat ribut kencang dalam kejadian pagi ini, menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Melaka.

Beliau berkata kejadian yang berlaku pada kira-kira 10 pagi itu turut menyebabkan 22 murid lagi mengalami trauma.

“Enam murid yang mengalami cedera ringan di kepala telah dihantar ke Hospital Melaka dan 22 murid lagi yang mengalami trauma telah dibawa ke Dewan Lim Kok Wah Tan Geok Poi di sekolah berkenaan,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Turut meninjau lokasi kejadian ialah Timbalan Menteri Pendidikan Datuk Dr Mah Hang Soon dan Ketua Menteri Melaka Datuk Sulaiman Md Ali.

Tinjauan Bernama di lokasi kejadian mendapati kenderaan pasukan keselamatan termasuk bomba, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan lebih 10 ambulans berada di sekitar kawasan sekolah.

Sehingga kini pihak berkuasa masih lagi mengenal pasti jumlah sebenar mangsa dan kawasan yang terjejas.

Situasi di sekitar sekolah itu juga kini tenang dan terkawal selepas ibu bapa datang mengambil anak masing-masing.

— BERNAMA

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.