Siakap Keli
budak pukul ayam
Gambar: Instagram

“Tak Pelik Ada Yang Jadi Pendera, Pendendam…” Viral Budak Pukul Ayam Hingga Hampir Mati, Perakam Hanya Gelak

Baru-baru ini tular video seorang kanak-kanak lelaki memukul seekor ayam sehingga nyawa-nyawa ikan lantaran marah kepada haiwan berkenaan.

Kejadian bermula apabila ayam berkenaan menyerang kanak-kanak itu, membuatkan dia lari ketakutan sambil menangis dan dirakam seorang individu yang hanya ketawa melihat telatahnya.

Dipercayai berang dengan ayam berkenaan, kanak-kanak itu kemudiannya mengambil bata dan membaling ke arah ayam tersebut. Tak cukup dengan itu, dia kemudiannya mengambil satu batang paip (atau besi) dan memukul haiwan malang berkenaan sehingga menggelupur.

Lebih menjengkelkan, individu yang merakam hanya tertawa melihat reaksi kanak-kanak itu sehinggalah ayam itu ‘hancur’ dikerjakan. Tiada maklumat mengenai lokasi kejadian dapat dipastikan setakat ini.

Video ini telah mendapat perhatian Farah Lee yang menyifatkan video itu sebagai kejam dan tidak kelakar kelakar. Mari baca luahan dan nasihat beliau di bawah.

Anak-anak patut diajar kasih sayang

Apa perasaan kalian apabila melihat video ini.?

Kanak-kanak yang sepatutnya merasa ‘selamat’ bersama ibu bapa/penjaga hanya dirakam dan digelak-gelakkan sahaja sepanjang situasi ‘fight’ ini – kepercayaan dan perlindungan ke laut.

Kemudian, kanak-kanak yang sepatutnya diajar tentang kasih sayang terhadap semua makhluk hanya dirakam dan didiamkan sahaja sepanjang penderaan dan ‘balas dendam’ dilakukan kepada haiwan tersebut – empati dan keprihatinan tak wujud.

Ya, mungkin budak tu ‘okay’ je (sekarang).

Tapi kalau anda tahu bagaimana otak mereka berfungsi, anda pasti setuju bahawa dia tidak okay. Trauma, penderaan, masalah kepercayaan, dendam; antara emosi yang bakal ditanam (jika tidak disembuhkan semula) dan disalut dengan memori-memori lain.

Kemudian satu hari nanti, apabila perkara yang hampir seangkatan berulang, ‘luka’ tersebut akan dicetuskan (triggered) dan reaksi yang sama (kadang lebih teruk) akan turut berulang dan menganggu emosi si anak ini, juga mereka di sekeliling.

Jangan pelik jika masyarakat kita pendera, tiada empati, baran, pendendam dll jika inilah cara kita menangani situasi sebegini. Ikutlah juga sunnah Rasulullah dalam mendidik anak-anak, bagaimana Baginda menyalut akhlak dan adab manusia kecil ini berdasarkan kasih sayang.

Kongsi video ini supaya kita belajar dan tidak mengulangi perkara yang sama. Saya beranggapan, yang merekod video ini tidak tahu tentang kesan diatas terhadap kanak-kanak.

Jika kiriman saya ini sampai kepada anda, saya nasihatkan untuk meminta maaf kepada anak tersebut dan menerangkan yang perkara memukul/melepaskan emosi sebegitu adalah tidak betul.

Saya menulis disini sebagai menjalankan tanggungjawab seorang manusia untuk amar makruf nahi mungkar — Anak-anak adalah amanah kita semua. Bukan ibubapa mereka sahaja, kita semua, semua kita.

Ini bukan cerita kelakar, ini adalah penderaan emosi. Tolong. Ambil. Perhatian. Jika kita inginkan masyarakat yang lebih positif pada masa akan datang dan kita yakin yang kita akan ditanya oleh Allah tentang bagaimana kita telah menjaga amanah yang diberikan ini. Ia bermula dengan, kita.

Rata-rata warga maya bersetuju dengan pandangan Farah dan meluahkan rasa ngeri melihat reaksi kanak-kanak itu.

Pernah dengar kes serupa, masalah baran sebab sabung ayam

Kesian dia, nanti ambil cara sama, bila rasa tak selamat, bunuh je sampai hancur

Perakam tak patut biar

Tak sanggup tengok, kesian kat anak tu menangis tak ada yang tolong

Kesian anak itu sakit dalamannya, membesar dalam persekitaran yang rosak

Sumber: Farah Lee

Amira

Love yourself.