Siakap Keli
Gambar Hiasan Via Bernama

Asrama Sekolah Di Kapit Terbakar, 10 Pelajar Selamat

SIBU,13 Ogos (Bernama) — Seramai 10 pelajar dan seorang guru sempat menyelamatkan diri apabila satu blok asrama lelaki dan sebuah kediaman guru di Sekolah Kebangsaan Ulu Yong di Kapit, kira-kira 190 km dari sini, terbakar malam tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kapit Erwandy Tugor berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira 11.30 malam sebelum 12 anggota dan dua jentera bergegas ke tempat kejadian.

“Setibanya di tempat kejadian, asrama dan kediaman guru itu sudah keseluruhannya terbakar dan pasukan bomba dan penyelamat mengambil langkah untuk mengawal kebakaran itu daripada merebak ke dua buah kediaman guru yang berhampiran,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini.

Beliau berkata kebakaran itu berjaya dipadamkan kira-kira pukul 2.40 pagi dan menurut maklumat yang diperoleh daripada guru besar sekolah berkenaan, kebakaran itu bermula dari bahagian tengah blok asrama itu yang merupakan struktur kayu seperti mana kediaman-kediaman guru berdekatannya.

“Semasa kejadian, kesemua pelajar dikatakan sedang tidur dan hanya dibangunkan oleh pengawal keselamatan sekolah berkenaan yang menyedari kejadian. Kesemua pelajar dan guru tidak mengalami kecederaan dan siasatan lanjut sedang dijalankan,” katanya.

— BERNAMA

Sofea

There's always another side to every story