Siakap Keli
Gambar Hiasan Via Google

Kepak Ayam Diimport Dari Brazil Ke China Dilaporkan Diuji Positif COVID-19

Kepak ayam sejuk beku yang diimport dari Brazil ke China telah disahkan positif dengan virus COVID-19, menurut pihak berkuasa tempatan pada Khamis, petik laporan CBS News.

Menurut Reuters, sampel yang diambil daripada permukaan kepak ayam itu telah diambil dan disahkan positif, ini menjadikan kes tersebut sebagai makanan import terbaru yang disahkan positif mengandungi virus maut itu.

Selain kepak ayam sejuk beku yang diimport ke Shenzhen, pek bungkusan udang sejuk beku daripada Ekuador yang dijual di Xian juga turut diuji positif dengan virus terbabit pada Khamis, lapor Reuters memetik kenyataan pihak berkuasa tempatan.

Pada Rabu lalu, virus COVID-19 telah ditemui pada bungkusan udang sejuk beku di wilayah Anhui. Udang itu juga turut datang daripada Ekuador.

Walaupun CDC menyatakan tidak ada bukti yang dapat menunjukkan bahawa memakan atau mengendalikan makanan boleh dikaitkan dengan COVID-19, China telah meningkatkan ujian saringan di tengah-tengah kebimbangan berkenaan makanan import ini.

COVID-19 lazimnya didapati tersebar pada kebanyakan orang melalui titisan, ujar CDC. Walau bagaimanapun, “ada kemungkinan seseorang itu terjangkit dengan virus COVID-19 melalui sentuhan pada permukaan atau objek, termasuk makanan atau bungkusan makanan yang mempunyai virus padanya dan kemudiannya terus menyentuh mulut, hidung serta mata mereka,” kata CDC.

Ini bukanlah cara utama virus tersebar, dan risiko untuk terjangkit dengan COVID-19 daripada makanan adalah sangat rendah, tambah CDC.

“Virus yang menyebabkan COVID-19 tidak dapat hidup pada makanan. Walaupun bakteria mampu untuk hidup pada makanan, namun virus memerlukan perumah yang hidup seperti manusia atau haiwan untuk membiak,” ujar CDC.

CDC mengesyorkan orang ramai supaya mencuci tangan dengan sabun dan air selepas mengendalikan makanan, atau sebelum memasak dan selepas makan.

Sungguhpun begitu, kesemua daging dan makanan laut yang masuk ke pelabuhan utama di China terus disaring. Pada Jun, China telah menggantung beberapa makanan yang diimport termasuklah yang datang daripada Brazil, lapor Reuters.

Sebagai langkah berjaga-jaga, sesiapa sahaja yang mungkin bersentuhan dengan produk makanan yang tercemar di Shenzhen akan dikesan dan disaring oleh pihak kesihatan di sana. Walaupun begitu, Kesemua yang disaring telah disahkan negatif, kata wakil kerajaan bandar itu, menurut Reuters.

Ujian saringan turut dilakukan pada mereka yang mungkin bersentuhan dengan udang yang tercemar, termasuk mereka yang berada berhampiran dengan pasar di Xian itu.

Sumber: CBS News 

Aqmal Ezany

I write what is right

syafiq halim

Top Fan Sepanjang Masa