Siakap Keli
Foto: Bernama via BOMBA

Lapan Kediaman Di Port Dickson Rosak Akibat Ribut

SEREMBAN, 14 Ogos – Lapan kediaman di Taman PD Damai, Kampung Paya, Port Dickson rosak, selepas dilanda ribut awal pagi tadi.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sembilan Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, daripada jumlah berkenaan, dua kediaman mengalami kerosakan teruk di bahagian bumbung, dalam kejadian pada pukul 3 pagi itu.

“Kesemua lapan buah rumah itu mengalami kerosakan di struktur bumbung yang tercabut dan runtuh akibat ribut, namun dua daripadanya mengalami kerosakan yang teruk.

“Akibat kejadian itu, tiga sekeluarga mengalami kecederaan dan telah dihantar ke Hospital Port Dickson (HPD) untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, sebuah jentera dan sebuah van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) bersama 10 pegawai dan anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat Port Dickson, dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan.

Sementara itu, mangsa kejadian Shahrilzail Ab Karim, 44, berkata, ketika itu beliau sekeluarga sedang tidur di bilik tidur utama rumah, sebelum dikejutkan dengan bunyi runtuhan siling di bilik berkenaan.

“Dalam pukul 3 pagi saya tersedar kerana mendengar angin yang cukup kuat, sebelum genting atap rumah di bilik tidur saya runtuh, menyebabkan saya mengalami kecederaan di belakang kepala, manakala isteri Nurul Fadilah Ikram, 35, cedera di kaki dan anak Muhamad Adeed, sembilan bulan, calar di tangan kanan.

“Kami telah pun mendapatkan rawatan di HPD dan telah dibenarkan keluar dan kini menumpang di rumah jiran. Ini adalah kali pertama kejadian seumpama ini berlaku, sejak saya pindah ke kediaman ini pada 2015,” kata guru Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Haji Abdul Samad, Port Dickson kepada Bernama.

Shahrilzail bagaimana pun berkata, ketika ini emosi kesemua ahli keluarganya adalah stabil.

— BERNAMA

Edayu

Lebih banyak menulis dari bersembang