Siakap Keli
Gambar: Bernama

APMM Tahan 20 Lagi Nelayan Vietnam Ceroboh Perairan Sarawak

KUCHING, 17 Ogos — Perairan Sarawak terus menjadi lubuk kepada nelayan asing mencuri sumber laut apabila 20 lagi warganegara Vietnam dalam dua bot ditahan kira-kira 225 batu nautika ke utara Tanjung Po dekat sini, kata Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) hari ini.

Pengarah Maritim Negeri Sarawak, Laksamana Pertama Maritim Robert Teh Geok Chuan berkata tangkapan dibuat 12 Ogos lepas oleh sebuah kapal peronda Maritim Malaysia, KM Sri Aman semasa operasi Op Naga Timur semasa kedua-dua bot nelayan itu sedang leka menggunakan kaedah tangkapan tunda ganding bersama.

“Pemeriksaan ke atas bot pertama mendapati 17 orang termasuk tekong berada di atas bot berkenaan, manakala di dalam bot kedua terdapat seramai tiga orang termasuk tekong sedang melakukan aktiviti penangkapan hasil laut secara haram,” katanya dalam sidang media di sini.

Menurutnya, pelbagai jenis ikan dianggarkan beratnya lebih 40 tan dan minyak diesel sebanyak 13,000 liter, selain kedua-dua buah bot nelayan yang keseluruhannya dianggarkan bernilai RM2.5 juta telah dirampas.

“Kesemua lelaki warga Vietnam ini yang berumur lingkungan 24 dan 53 tahun itu gagal menunjukkan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah dan telah ditahan sebelum diiringi ke jeti Maritim Malaysia di Kuching, dan seterusnya dibawa untuk menjalani ujian saringan COVID-19,” katanya.

Teh berkata mereka disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Perikanan 1985 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM6 juta atau penjara sehingga dua tahun ke atas tekong, manakala kru boleh didenda sehingga RM600,000 setiap seorang atau penjara sehingga dua tahun dan vesel mereka akan dilucutkan hak.

“Ini merupakan tangkapan kedua dalam bulan Ogos ini, iaitu tangkapan pertama bot nelayan asing oleh Zon Maritim Tanjung Manis pada 10 Ogos lalu dengan anggaran hasil tangkapan bernilai RM500,000 bersama tiga lelaki warga Vietnam ditahan kerana menceroboh perairan negara.

Beliau berkata sepanjang tahun ini, 79 nelayan asing bersama 10 bot berjaya ditahan agensi itu di negeri ini dengan nilai rampasan dianggarkan hampir RM10 juta.

Sumber: BERNAMA

Aqmal Ezany

I write what is right