Siakap Keli
Gambar: Istana Negara

Tan Sri Dr Noor Hisham “Trending” Di Twitter

Penganugerahan Darjah Panglima Setia Mahkota (PSM) yang membawa gelaran “Tan Sri” kepada Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah memenuhi laman media sosial hari ini dan trending di Twitter.

Perkataan ‘Tan Sri’ sahaja mendapat lebih 26,500 hantaran hingga 5 petang hari ini, susulan penganugerahan yang diterima tokoh yang cukup dikenali rakyat Malaysia berikutan penularan pandemik COVID-19.

Barisan pemimpin negara, ahli Parlimen blok pembangkang, selebriti tanah air dan netizen mengambil peluang mengucapkan tahniah kepada Dr Noor Hisham menerusi laman sosial seperti Facebook, Twitter dan Instagram.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Dr Noraini Ahmad antara yang mengucapkan tahniah kepada Dr Noor Hisham yang pernah dinamakan sebagai antara tiga doktor terbaik dunia oleh China Global TV Network (CGTN)  berdasarkan kewibawaan menangani krisis COVID-19.

“Tahniah Tan Sri!,” kata Dr Noraini yang mengulang hantaran Dr Noor Hisham.

Sementara itu, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karanaan, Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun turut memuat naik sekeping gambar Dr Noor Hisham berserta ungkapan:

Heartiest congratulations to our Director-General of Health @DGHisham. He is now a Tan Sri. He has been conferred the ‘Panglima Setia Mahkota (PSM)’ award in conjunction with DYMM Yang Dipertuan Agong’s official birthday celebration. Much deserved. Tahniah.” 

Turut mengambil kesempatan ialah Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang mengucapkan tahniah kepada Dr Noor Hisham dan berkata beliau adalah “hero sebenar” Malaysia.

Hari ini, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenaan menganugerahkan darjah kebesaran kepada Dr Noor Hisham pada istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan Tahun 2020 di Istana Melawati

Selain Dr Noor Hisham, seramai 11 lagi individu turut menerima Darjah PSM bersempena Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong tahun ini.

Selebriti  Neelofa pula menzahirkan ucapan terima kasih kepada Dr Noor Hisham atas sumbangan beliau.

“Heartiest congratulations to Tan Sri @DGHisham on your well deserved award. Thank you for your contribution to the country. Our true Malaysian Hero!” katanya.

Turut berkongsi ucapan tahniah ialah pelatih pakar bedah kelahiran Malaysia, Dr Nur Amalina Che Bakri yang bertugas di London .

Dr Noor Hisham dalam hantarannya menerusi Twitter, berkata  penganugerahan darjah kebesaran itu  adalah pengiktirafan terbesar buat petugas barisan hadapan dan warga Kementerian Kesihatan  (KKM) yang berjuang memerangi pandemik COVID-19.

“Merafak sembah, menjunjung kasih Ke bawah DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong atas kurniaan pingat PSM. Darjah kebesaran ini adalah satu penghormatan kepada semua petugas barisan hadapan dan di belakang tabir KKM, lambang kepercayaan dan penghargaan kerajaan kepada penjawat awam,” katanya.

Hantaran itu diulang hantar sebanyak 8,500 kali dengan 15,000 tanda suka.

Sumber: BERNAMA

Aqmal Ezany

I write what is right