Setiap pasangan tentu mahu hari perkahwinan mereka berjalan sebaik mungkin. Selepas berbulan-bulan membuat persiapan, tibalah hari untuk melangkah ke fasa baharu bersama insan tersayang.
Sudah tentu, bakal raja sehari mahu tampil kemas dan yakin ketika meraikan detik yang akan dikenang sepanjang hayat itu.
Salah satunya adalah solekan. Namun, ia sering dikaitkan dengan pengantin perempuan, sedangkan pengantin lelaki juga mahu kelihatan segak dan berseri di sisi pasangan.
Bagi Megat Mat Akhir bin Megat Mohamad, atau lebih dikenali sebagai Tan Megat Pak Andam, membantu pengantin lelaki membuat persiapan bukan sekadar soal penampilan, tetapi peluang untuk menjadi sebahagian daripada kenangan indah mereka.

Itulah yang diterapkan dalam pekerjaan sejak hampir empat dekad lalu.
“Saya berasal dari Kampung Matang Merbau, Sungai Tinggi, Trong, Perak. Pada 2005, saya berhijrah ke Simpang, Taiping dan menetap di sana sehingga hari ini.
“Saya mula berkecimpung dalam bidang andaman pada awal 1986. Sampai sekarang saya masih meneruskannya,” katanya.
Minat bermula sejak zaman sekolah
Minat Tan Megat terhadap seni andaman bermula ketika masih di bangku sekolah menengah. Dia sering mengikuti mak-mak saudaranya membuat pelamin dan melihat pakcik-pakcik di kampung mengandam pengantin.
Daripada situ, dia mula mengenali persiapan pengantin Melayu, termasuk adat dan cara pengantin disiapkan untuk hari perkahwinan.
Selepas menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada 1985, dia mendapat pelawaan untuk menjadi pengapit pengantin. Peluang itu menjadi langkah pertamanya membantu menyiapkan pengantin pada awal tahun berikutnya.
Ketika itu, tugasnya lebih tertumpu kepada kerja mengandam berbanding solekan seperti yang dilakukannya hari ini.
Dari 1986 hingga penghujung 1999, dia memberi tumpuan kepada kerja mengandam sebelum mula menatarias pengantin lelaki sekitar tahun 2000.

“Pengalaman pertama itu memang membuatkan saya gementar, risau dan takut kalau hasil kerja tidak menjadi seperti yang diharapkan.
“Tetapi alhamdulillah, hasilnya mendapat sambutan dan memberikan semangat kepada saya untuk terus mencuba serta memperbaiki kemahiran,” katanya.
Ketika mula-mula berkecimpung dalam bidang itu, Tan Megat melakukannya secara sambilan pada hujung minggu dan cuti umum. Pekerjaan hakikinya ketika itu ialah dalam industri kayu bakau dan kayu arang bakau di daerah Larut Matang.
Pada 2010, dia mula memiliki kilang kayu arang sendiri. Minat terhadap seni andaman pula terus berjalan seiring dengan tanggungjawab mencari rezeki.
Bermula dengan bahan dan peralatan sederhana
Bercerita lagi, peralatan solekan hari ini jauh berbeza daripada yang digunakan Tan Megat pada awal kerjayanya. Ketika itu, bahan yang digunakan lebih sederhana dan sebahagiannya terdiri daripada bahan tradisional.
Untuk kerja mengandam, antaranya santan kelapa dan limau nipis digunakan bagi membersihkan badan serta kepala pengantin. Pemotong kuku, alat membersihkan telinga dan pencukur pula digunakan untuk merapikan penampilan. Benang turut digunakan untuk membuang bulu halus pada wajah.
Bagi solekan, bahan yang digunakan termasuk bedak batu atau bedak air Siam, gincu, celak dan paper powder.
“Kami bekerja dengan apa yang ada dan menggunakan kemahiran yang dipelajari melalui pengalaman serta pemerhatian.
“Sekarang produk dan peralatan semakin banyak, teknik pun berkembang. Tetapi asasnya tetap memerlukan kemahiran, ketelitian dan kebolehan memahami penampilan yang sesuai untuk pengantin,” katanya.

Tan Megat turut menimba ilmu daripada mereka yang lebih berpengalaman dan mempelajari teknik serta produk baharu. Baginya, pengalaman lama ialah satu kelebihan, namun seseorang dalam bidang solekan juga perlu terus belajar.
Solekan lelaki perlu kekalkan ciri maskulin
Bagi Tan Megat, solekan pengantin lelaki mempunyai cabaran tersendiri. Tujuannya bukan untuk mengubah wajah sehingga kelihatan seperti orang lain, sebaliknya menyerlahkan penampilan terbaik sambil mengekalkan ciri maskulin.
Sebelum memulakan solekan, dia akan melihat bentuk wajah dan keadaan kulit pengantin. Busana, warna pakaian dan konsep majlis turut diambil kira supaya penampilan keseluruhan kelihatan seimbang.
Kebanyakan pengantin lelaki, katanya, menyerahkan pilihan solekan kepadanya. Ada juga yang mempunyai permintaan tertentu, dan dia akan cuba mengambil kira kehendak mereka sebaik mungkin.

“Pengantin lelaki mahu nampak segak, segar dan berseri, tetapi identiti asal mereka perlu dikekalkan. Solekan bukan untuk menjadikan mereka orang lain,” katanya.
Pada awal kerjayanya, masih ada segelintir masyarakat yang kurang selesa melihat pengantin lelaki bersolek kerana solekan lebih dikaitkan dengan pengantin perempuan. Namun, Tan Megat terus memberikan perhatian kepada hasil kerja dan memastikan penampilan pengantin sesuai dengan busana yang dipakai.
Bukan sekadar bersolek
Sepanjang hampir empat dekad mengendalikan persiapan pengantin, Tan Megat berdepan pelbagai keadaan di luar jangkaan. Pernah songket yang disewa terlalu besar, ada juga pakaian yang terlalu kecil atau warna dan corak busana yang tidak sepadan.
Dalam keadaan begitu, dia menggunakan kemahiran yang ada untuk membantu mengubah suai pakaian, termasuk menjahitnya dengan tangan supaya dapat dipakai dengan lebih kemas.
“Tugas seorang Pak Andam bukan hanya berkaitan solekan. Kita perlu bersedia menghadapi perkara yang tidak dijangka dan mencari penyelesaian dengan tenang,” katanya.
Ada juga kisah pelanggan yang meninggalkan kesan mendalam. Tan Megat pernah menyiapkan pengantin yang kehilangan ibu, bapa atau ahli keluarga terdekat sebelum hari perkahwinan. Ada yang melangsungkan perkahwinan selepas bertahun-tahun menjaga ibu bapa yang sakit.
Kisah-kisah itu mengingatkannya bahawa di sebalik senyuman pengantin, mungkin ada kerinduan dan cerita yang tidak diketahui orang lain.

“Saya mungkin tidak mampu mengubah apa yang berlaku dalam kehidupan mereka. Tetapi saya boleh memberikan perkhidmatan dengan sebaik mungkin supaya mereka berasa dihargai dan dapat melalui hari istimewa itu dengan lebih tenang,” katanya.
Dari cerita mulut ke mulut ke perhatian ramai
Pada awalnya, pelanggan mengenali Tan Megat melalui perkenalan dan cerita dari mulut ke mulut. Peluang pertamanya datang apabila dia dipelawa menjadi pengapit, tugas yang pada masa itu turut melibatkan bantuan menyiapkan pengantin lelaki.
Nama Tan Megat mula mendapat perhatian ramai pada 2024 selepas perkongsian hasil solekannya di media sosial, termasuk TikTok tular.

Tempahan yang sebelum itu tertumpu pada hujung minggu dan cuti umum kemudian meningkat sehingga jadualnya penuh hampir setiap minggu sepanjang tahun.
Perkembangan itu turut membawanya menerima jemputan ke rancangan televisyen, radio, media dan rakan artis.
Dia juga pernah berkongsi ilmu serta pengalaman dalam program bersama institusi pengajian tinggi dan badan kerajaan, selain terlibat dalam beberapa acara bersama penggiat seni dan selebriti.
“Saya tidak pernah menyangka minat yang bermula pada 1986 akan mendapat perhatian seluas ini selepas sekian lama dilakukan secara sambilan.
“Bagi saya, setiap tempahan ialah amanah. Saya sangat menghargai pelanggan yang memberikan kepercayaan dan berkongsi pengalaman mereka dengan orang lain,” katanya.
Kepuasan terbesar Tan Megat ialah apabila pengantin dan keluarga berpuas hati dengan hasil solekan. Pujian apabila pengantin kelihatan segak dan berseri tanpa kehilangan ciri maskulin, selain pemakaian sampin yang kemas, menjadi antara maklum balas yang paling dihargainya.
Mahu berkongsi ilmu dengan generasi muda

Tan Megat kini turut memperoleh Sijil Kemahiran Malaysia dalam bidang solekan. Dia menyimpan hasrat untuk membuka kelas solekan khusus bagi golongan lelaki yang berminat mendalami bidang tersebut.
Selain itu, dia bercita-cita membuka dewan acara perkahwinan dan menghasilkan produk solekan sendiri pada masa hadapan.
“Kepada anak muda yang berminat, jangan masuk bidang ini hanya kerana melihat orang lain berjaya atau tertarik dengan pendapatannya. Minat, keikhlasan, disiplin dan kesediaan untuk belajar sangat penting.

“Jangan malu belajar daripada orang yang lebih berpengalaman. Ilmu solekan sentiasa berkembang, jadi kita perlu terbuka untuk memperbaiki kemahiran,” katanya.
Bagi Tan Megat, kejayaan bukan sekadar apabila namanya dikenali atau jadual tempahan penuh. Ia turut terletak pada kepercayaan pelanggan, sokongan keluarga dan peluang untuk terus melakukan pekerjaan yang dicintainya.
“Selagi kesihatan mengizinkan dan saya masih mampu memberikan perkhidmatan yang baik, saya akan teruskan.
“Minat saya masih ada. Saya mahu pengantin lelaki tampil segak, kemas dan berseri pada hari bahagia mereka,” katanya.

Bagi Tan Megat, momen pada hari bahagia pengantin mungkin tidak akan berulang. Sebab itu, dia sentiasa berusaha memberikan yang terbaik supaya pengantin tampil segak dan kemas.
Setiap perincian penampilan diberi perhatian penuh agar kenangan yang dirakam itu terus manis dikenang semula hingga ke anak cucu.
Untuk yang ingin melihat sendiri hasil sentuhan Tan Megat, boleh melayari akaun TikTok @pakandam_nuranggunbridal
