Siakap Keli
Gambar Via Bernama

Perarakan Berkuda Semarak Sambutan Hari Kebangsaan, Jubli Perak Putrajaya

PUTRAJAYA, 30 Ogos (Bernama) — Perarakan 88 ekor kuda sejauh 6.7 kilometer di Putrajaya hari ini memeriahkan sambutan Hari Kebangsaan 2020 dan Jubli Perak Putrajaya.

Perarakan berkuda itu yang membawa Jalur Gemilang dan bendera Jubli Perak Putrajaya diketuai oleh Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj) Datuk Dr Aminuddin Hassim, melibatkan unit berkuda daripada empat agensi iaitu PPj, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Polis Diraja Malaysia dan Briged Ekuin Angkatan Pertahanan Awam.

Jumlah 88 ekor kuda itu adalah simbolik 63 tahun kemerdekaan negara dan 25 tahun penubuhan Putrajaya.

Perarakan itu yang bermula dari Dataran Putra di hadapan sejumlah penonton, membuat lintas hormat di hadapan Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa di dataran berkenaan.

Aminuddin kemudian menyerahkan Jalur Gemilang dan bendera Jubli Perak Putrajaya kepada Annuar sebelum perarakan diteruskan ke Taman Ekuestrian Putrajaya di Presint 5.

Annuar yang ditemui media selepas perarakan berkuda itu berkata Putrajaya berbangga apabila sekali lagi dipilih menjadi tuan rumah sambutan Hari Kebangsaan esok selepas menyambut ulang tahun ke-25 penubuhannya semalam.

— BERNAMA

Sofea

There's always another side to every story

test