Siakap Keli

4 Individu Termasuk Anggota Tentera Ditahan Bersama 30kg Ganja

SHAH ALAM: 2 September, seorang tentera berpangkat koperal antara lima individu ditahan bersama ketulan mampat ganja seberat 30 kilogram (kg) dalam satu serbuan di parkir sebuah pasar raya di Kelana Jaya, Khamis lalu.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Selangor Supt Abdul Latiff Abdul Rahman berkata serbuan jam 4.30 petang itu adalah hasil aduan orang awam dan risikan pihaknya.

“Ketika serbuan berkenaan, dua lelaki masing-masing berumur 24 tahun dan anggota tentera berusia 32 tahun itu berada dalam sebuah kereta. Hasil pemeriksaan ke atas kenderaan itu menemukan ketulan mampat ganja bernilai RM75,000.

“Turut ditahan tiga lelaki berumur antara 25 hingga 27 tahun dalam kenderaan berasingan. Polis percaya mereka mungkin bertemu untuk mengagihkan bahan terlarang itu,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Abdul Latiff berkata soal siasat mendapati empat suspek terbabit merupakan rakan sekampung kepada anggota tentera itu dan dadah berkenaan dipercayai diperoleh dari negeri di pantai timur untuk dipasarkan di sekitar Lembah Klang.

Beliau berkata hasil saringan air kencing mendapati anggota tentera yang telah berkhidmat selama 14 tahun dalam angkatan itu serta dua rakannya negatif dadah manakala tiga lagi positif methamphetamine dan amphetamine.

Abdul Latiff berkata 30kg ganja yang dirampas itu boleh dibekalkan kepada 60,000 penagih untuk tempoh sehari.

Katanya, kesemua suspek direman selama tujuh hari sejak Khamis lalu dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sumber: Bernama

Alfi Aiman

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.