Siakap Keli
Kredit: Google

Thailand Rekod 100 Hari Tanpa Jangkitan Tempatan

BANGKOK, 2 Sept (Bernama) — Thailand mencatatkan sifar kes baharu tempatan COVID-19 bagi hari ke-100.

Thailand, negara pertama di luar China yang melaporkan kes COVID-19 pada Januari lepas, mengesahkan terdapat 3,425 kes dengan 58 kematian manakala 93 pesakit masih dirawat di hospital setakat ini.

Perdana Menteri Jeneral Prayuth Chan o-cha berkata kerjasama rakyat telah membantu mengekang penularan pandemik COVID-19 di negara itu dan ‘mengekalkan negara yang selamat’.

“Saya berharap rakyat akan terus memberi kerjasama untuk mencegah gelombang kedua COVID-19…Jika ia berulang, rakyat akan kembali sengsara,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Pentadbiran Situasi Ekonomi mengenai pandemik COVID-19 di rumah kerajaan di sini hari ini.

Prayuth mengulangi bahawa kerajaan masih belum membenarkan pelancong asing memasuki negara itu.

Kejayaan Thailand memerangi COVID-19 disebabkan penutupan pintu masuknya sejak 3 April iaitu hanya rakyat Thailand yang dibenar pulang ke negara itu serta diplomat dan pemegang permit kerja.

Sejak 1 Julai, Thailand bersetuju membenarkan warga asing yang terpilih termasuk pelancong perubatan dan pekerja migran dari negara jiran dalam sektor infrastruktur dan industri makanan memasuki negara berkenaan.

Larangan kemasukan pelancong asing telah menjejaskan industri pelancongan negara itu. Thailand dijangka hanya menerima kedatangan 8 juta pelancong asing tahun ini berbanding 39.8 juta pelancong pada tahun 2019.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Kawalan Penyakit Tanarak Pipat berkata Thailand telah memperketat penguatkuasaannya di 10 wilayah sepanjang sempadan Thailand – Myanmar kerana bimbang ancaman gelombang kedua COVID-19 berikutan peningkatan kes di Myanmar.

“Kita mesti berhenti mengambil pekerja migran secara haram untuk menghalang penularan gelombang kedua pandemik COVID-19,” katanya.

Dalam tempoh 24 jam yang lepas, Thailand merekodkan lapan kes baharu COVID-19 termasuk empat daripada satu keluarga warga Amerika Syarikat berusia lingkungan 12 hingga 49 tahun.

Empat lagi pesakit baharu adalah rakyat Thailand iaitu dua wanita dan dua lelaki yang pulang dari luar negara.

Sumber: BERNAMA

Amira

Love yourself.

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.