Siakap Keli

Celcom MeReka Merdeka Buka Peluang Buat Rakyat Malaysia Hasilkan Pelitup Muka Rekaan Sendiri, Boleh Jana Pendapatan

Malaysia kini berhadapan dengan krisis pandemik COVID-19 yang masih lagi tidak menunjukkan tanda-tanda untuk lenyap sepenuhnya. Malah, Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) juga telah dilanjutkan sehingga 31 Disember 2020 ini. Seperti yang diketahui, orang ramai dinasihati untuk sentiasa mengikuti segala peraturan serta prosedur operasi standard yang telah ditetapkan sepanjang tempoh ini.

Dalam pada itu, pandemik ini juga sebenarnya memperlihatkan sikap saling bekerjasama dalam kalangan rakyat Malaysia bagi terus membendung penularan jangkitan. Walaupun diakui wujud pelbagai cabaran, namun kita semua sentiasa bersama-sama mengharunginya. Situasi ini sebenarnya menjadikan bulan kemerdekaan ini lebih bermakna. Manakan tidak, semua orang bersatu melawan satu ‘musuh’ yang sama. 

Disebabkan itu juga, Celcom telah mengadakan satu inisiatif iaitu Celcom MeReka Merdeka sempena sambutan 63 tahun kemerdekaan negara kita. Mengambil kira krisis COVID-19 yang sedang berlaku, inisiatif yang dilakukan oleh Celcom ini memberikan peluang kepada rakyat Malaysia untuk saling menyokong dan membantu di antara satu sama lain. 

Apa itu Celcom MeReka Merdeka?

Untuk pengetahuan anda, Celcom MeReka Merdeka ini sebenarnya diusahakan bagi mengajak seluruh rakyat Malaysia untuk bersama-sama mencipta rekaan pelitup muka sendiri. Lebih menarik, pelitup muka itu akan tersedia kepada masyarakat umum untuk pre-order sekaligus membantu menjana pendapatan bagi yang memerlukan. 

Celcom juga melihat inisiatif ini sebagai peluang untuk membantu mengurangkan tekanan kewangan yang mungkin dihadapi oleh rakyat Malaysia. 

Hal ini kerana, anda juga mampu memperolehi pendapatan pasif melalui penjualan pelitup muka dengan rekaan sendiri ini. Di samping itu, penciptaan pelitup muka yang boleh digunakan semula ini juga merupakan pilihan yang lebih mampan kerana kosnya juga lebih efektif dalam jangka masa yang panjang dan mengurangkan kesan berbanding pelitup muka sekali pakai. Tidak cuma itu, pereka yang disenarai pendek akan diumumkan pada 18 September 2020 ini dan akan berpeluang menerima 100% hasil jualan di samping RM 2,000 sebagai imbuhan tetap. Anda boleh layari laman web Celcom untuk ketahui lebih lanjut mengenai penyertaan ini.

Bukan itu sahaja, Celcom juga bekerjasama dengan Earth Heir yang merupakan sebuah syarikat sosial yang mempunyai perakuan Fair Trade oleh World Fair Trade Organisation (WTFO). Earth Heir juga dilihat mempunyai pengalaman dan pengetahuan dalam penghasilan pelitup muka. Jangan risau kerana proses penghasilan pelitup muka yang boleh digunakan semula ini dilakukan di dalam bengkel yang disanitasi dan dijahit tangan oleh tukang-tukang dari komuniti yang terpinggir. 

Turut disertai oleh barisan karyawan seni berbakat tanah air

Tidak lengkap rasanya Celcom MeReka Merdeka ini jika tidak disertai oleh karyawan seni yang pakar dalam rekaan. Haa, disebabkan itu, beberapa orang karyawan seni terkenal telah menghasilkan rekaan pelitup muka edisi terhad mereka sendiri yang akan dijual kelak. Antara karyawan yang terlibat adalah pereka fesyen terkenal, Alia Bastaman, karyawan seni mural yang tular, Suhaimi Ali, karyawan seni grafiti berbakat, Chern Cloakwork dan karyawan seni inai, Karthine Maniam. Mereka dipilih untuk mewakili kepelbagaian dalam negara ini dan menawarkan pelbagai rekaan yang boleh dipilih oleh orang ramai.

Tonton kisah penciptaan pelitup muka lebih 100 tahun lalu

Di samping itu, kempen ini telah dimulakan dengan sebuah cerita yang dipaparkan menerusi platform atas talian. Menariknya, cerita itu mengisahkan mengenai dua generasi yang terpisah lebih 100 tahun namun terikat dengan satu tujuan yang sama. Mengetengahkan mengenai perjuangan Dr. Wu Lien Teh yang menghasilkan rekaan pelitup muka inovatif pada tahun 1910, ia telah ditayangkan pada 27 Ogos lalu di platform Facebook dan saluran Youtube Celcom. Jangan lupa untuk saksikan!

Bagi yang ingin menyertai kempen Celcom MeReka Merdeka ini, anda boleh melayari laman web Celcom untuk mengetahui maklumat yang lebih lanjut. 






Sofea

There's always another side to every story