Siakap Keli
Gambar: ABC News

Selepas Neymar, 3 Lagi Pemain PSG Dilaporkan Positif Covid-19

Paris Saint-Germain (PSG) mengesahkan bahawa tiga lagi pemainnya telah diuji positif Covid-19, menjadikan jumlah keseluruhan yang dijangkiti di dalam pasukannya meningkat kepada enam orang, lapor Xinhua.

“Ujian saringan terbaru yang dilakukan pada pasukan utama telah mendapati bahawa terdapat tiga kes positif Covid-19 baharu,” kata juara liga Perancis itu dalam satu kenyataan.

“Para pemain telah mengikuti prosedur kesihatan yang telah ditetapkan.”

Menurut Xinhua, kelab itu tidak mendedahkan nama ketiga-tiga pemain yang telah disahkan positif itu, namun akhbar sukan L’Equipe melaporkan bahawa tiga kes baharu itu telah dijangkiti oleh pemain pertahanan Brazil, Marquinhos, penyerang Argentina, Mauro Icardi dan penjaga gol Costa Rica, Keylor Navas.

Neymar, Angel Di Maria dan Leandro Paredes, seperti yang dilaporkan sebelum ini, adalah tiga pemain yang pertama disahkan dijangkiti sehari sebelumnya.

Keenam-enam pemain ini dilaporkan telah pergi bercuti ke pulau Ibiza di Sepanyol selepas kekalahan pasukan mereka menentang Bayern Munich dalam aksi terakhir Liga Juara-Juara Eropah pada 23 Ogos lalu.

PSG telah dijadualkan untuk memulakan aksi mereka dalam liga Perancis musim baharu di Lens pada 10 September, namun keadaan semasa yang menghimpit pasukan itu telah menimbulkan keraguan sama ada perlawanan itu akan berlangsung atau terpaksa dibatalkan.

Badan pengurusan bola sepak Perancis telah memutuskan bahawa sesebuah pasukan itu perlu membatalkan sesi latihannya sekiranya terdapat empat atau lebih kes positif Covid-19, dengan kemungkinan perlawanannya juga turut ditunda.

Pun begitu, akhbar L’Equipe melaporkan bahawa liga tersebut sedang mempertimbangkan untuk memutuskan kelonggaran bahawa selagi 20 pemain dari jumlah keseluruhan 30 pemain dari mana-mana kelab disahkan negatif, perlawanan akan boleh diteruskan.

Sekiranya protokol baru itu diluluskan, ianya akan secara tidak langsung membolehkan perlawanan diantara pasukan PSG dan Lens dapat diadakan.

Sumber: Xinhua

Aqmal Ezany

I write what is right