Siakap Keli
senator ras adiba
Gambar: Facebook Senator Ras Adiba

(Video) “Ramai Tertanya-Tanya Macam Mana Saya Boleh Berdiri”, Lumpuh Separuh Badan, Senator Kongsi Cara Beliau ‘Berdiri’

Biarpun pergerakan agak terbatas susulan menghidap Thoracic 10 Paraplegic, YB Senator Ras Adiba Mohd Radzi tetap terus berkhidmat kepada rakyat.

Ahli Parlimen yang merupakan ahli Parti Wakil OKU telah dilantik Yang di-Pertuan Agong sejak 20 Mei lalu bagi mewakili suara golongan kelainan upaya (OKU) ke Parlimen.

Baru-baru ini, beliau mengejutkan orang ramai apabila mampu berdiri ketika sesi persidangan di Parlimen.

Dedahnya, beliau mampu berbuat demikian atas sokongan kerusi roda khas yang membolehkannya untuk berdiri tegak.

“Semalam ramai yang bingung melihat bagaimana saya boleh berdiri ketika perbahasan Titah Di Raja, sedangkan saya seorang yang menggunakan kerusi roda.

“Saya seorang pesakit saraf tunjang dan lumpuh separuh badan iaitu di paras Thoracic atau T10. Justeru saya hanya mampu berdiri dengan bantuan kerusi roda berdiri Llyod. Semoga perkongsian ini dapat bantu sahabat OKU saya, yang ingin berdiri walau seketika,” katanya.

Apa itu paraplegik toraks (thoracic paraplegic)?

Menurut Spinal Injury 101, Thoracic 10 Paraplegic merupakan kondisi di mana tulang belakang mengalami kecederaan dan boleh menjejaskan fungsi otot.

Individu yang mempunyai Thoracic 10 Paraplegic lazimnya boleh mengawal gerakan bahagian atas badan dengan normal. Mereka juga mempunyai kemampuan yang agak baik untuk mengawal dan mengimbangkan batang tubuh ketika sedang duduk.

Sebahagian individu dengan kondisi ini juga boleh berdiri dengan sokongan, malah ada yang boleh berjalan dengan bantuan pendakap.

Sumber: Ras Adiba, Spinal Injury 101

Amira

Love yourself.

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.