Siakap Keli
Gambar sekadar hiasan

”Ingat, Dengar Cakap Mak Ayah..” Remaja Lelaki Diperintah Berkelakuan Baik Lima Tahun

KUALA LUMPUR, 14 Sept (Bernama) — Seorang penganggur diperintah menjalani bon berkelakuan baik selama lima tahun tanpa cagaran oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana merompak wang RM3,690 serta sebuah telefon pintar milik seorang penolong pengurus sebuah syarikat swasta bersenjatakan pedang.

Hakim Mahyon Talib menjatuhkan hukuman itu ke atas Rasul Izzudin Md Zain,18, selepas dia mengaku bersalah melakukan perbuatan tersebut bersama-sama dua rakannya menggunakan dua bilah pedang sebagai senjata ke atas Azman Mohd Isa, 48, di sebuah rumah di PPR Taman Mulia, di sini, pada 12.30 tengah hari, 15 Julai lepas.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani perintah khidmat masyarakat selama 150 jam dalam tempoh lapan bulan.

Sebelum ini, dua rakannya yang didakwa bersama-sama tertuduh iaitu Wan Muhammad Amirul Wan Md Anuar, 22, dan Muhammad Razif Mohd Rafiee, 21, dijatuhi hukuman penjara tiga tahun dan satu sebatan oleh mahkamah sama pada 3 Sept lepas.

Rasul Izzudin didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan juga sebat.

Terdahulu, Mahyon berkata hukuman penjara tidak sesuai dikenakan ke atas tertuduh kerana dia adalah pesalah muda dan beliau turut menasihati tertuduh supaya tidak mengulangi kesilapan sama.

“Jangan buat jenayah lagi, kalau tidak hukuman asal awak adalah hukuman pemenjaraan… Ingat, dengar cakap mak ayah, jangan buat lagi,” katanya.

Mengikut fakta kes, pada hari kejadian, mangsa datang ke sebuah rumah di PPR Taman Mulia untuk mengurut badan dan dua rakan tertuduh iaitu Wan Muhammad Amirul dan Muhammad Razif  telah datang dengan membawa dua pedang samurai lalu mengacu serta meletakkan senjata tersebut di leher mangsa.

Wan Muhammad Amirul kemudiannya mengambil wang tunai RM150 di dalam dompet dan telefon pintar mangsa dan juga telah menakutkan mangsa bagi menyerahkan kata nama (username) dan kata laluan (password) akaun Maybank2U mangsa sebelum mengambil kad bank Bank Simpanan Nasional (BSN).

Lelaki itu juga telah memindahkan wang RM1,040 dari akaun Maybank mangsa ke dalam akaun BSNnya (Wan Muhammad Amirul) dan selepas itu dia telah menyerahkan kad bank mangsa kepada Rasul Izzudin manakala Muhammad Razif  telah  membuat transaksi pengeluaran menggunakan kad BSN mangsa sebanyak RM2,500.

Timbalan Pendakwa Raya Nurliyana Mohd Jafri memohon hukuman setimpal berbentuk pengajaran bagaimanapun, Rasul Izzudin yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan kerana bapanya sedang sakit dan dia mempunyai tujuh orang adik-beradik.

“Saya telah insaf, saya berjanji tidak akan mengulangi kesilapan sama,” katanya.

— BERNAMA

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.