Kes rogol seorang wanita yang terkandas di sebuah lebuh raya di Pakistan selepas terkandas di tepi jalan kerana keretanya kehabisan minyak telah mencetuskan kemarahan ramai.
Menurut India Today, dua orang lelaki dilaporkan telah merogol seorang wanita yang terkandas di lebuh raya Lahore-Sialkot bersama dengan anaknya di daerah Gujjarpara, Pakistan pada Rabu.
Menurut laporan di laman berita Pakistan iaitu Geo News, wanita tersebut sedang dalam perjalanan pulang bersama dengan anaknya pada waktu malam. Namun keretanya tidak boleh meneruskan perjalanan kerana kehabisan minyak petrol.
Ketika wanita itu sedang menunggu suaminya datang untuk menjemputnya, dua lelaki bersenjata dipercayai telah bertindak menyerang keretanya serta memecahkan tingkapnya dan seterusnya memaksa wanita tersebut dan anaknya keluar daripada kereta sambil mengacukan senjata.
Mereka kemudiannya dilaporkan merogol wanita itu di kawasan berdekatan dihadapan anak wanita tersebut.
Menurut India Today, wanita itu telah menerima panggilan daripada ahli keluarganya yang menyarankan supaya dia menghubungi Polis Lebuhraya Pakistan sebelum kejadian itu berlaku.
Bukan itu sahaja, suspek juga didakwa telah merompak barang kemas wanita berkenaan serta kad ATM miliknya sebelum melarikan diri daripada tempat kejadian.
Mangsa dilaporkan telah ditemui dalam keadaan terkejut dan pakaian dengan kesan darah.
Kes tersebut telah mencetuskan kemarahan di seluruh Pakistan, dengan warganet menuntut pihak berkuasa supaya bertanggungjawab untuk keadilan bagi wanita itu.
Setakat ini, polis dilaporkan tidak dapat mengenal pasti suspek namun telah menahan seramai 12 suspek yang disyaki, lapor National Daily Dawn.
Sumber: India Today