Siakap Keli
Kredit: Google

‘Tanah Geran Kongsi Lot Lidi vs Perkongsian Bersama’, Ini Bezanya & Peguam Jelaskan Mana Yang Berisiko Kalau Dibeli

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Tanah adalah salah satu aset yang perlu dimiliki oleh kita semua pada hari ini.

Dalam proses membeli tanah, pasti ada beberapa syarat dan prosedur tertentu untuk memastikan kita mendapat geran sebagai bukti penama tanah tersebut.

Namun, timbul juga persoalan, adakah kita boleh membeli tanah yang mempunyai geran kongsi penama?

Ikuti penjelasan yang diterangkan oleh Timbalan Presiden, Pertubuhan Kebajikan dan Literasi Undang-Undang (K-Literasi), Salkukhairi Abd Sukor di bawah ini.

Gambar sekadar hiasan. Kredit: Google

Boleh ke beli tanah geran kongsi?

Selalu orang tanya saya.

“Tuan, boleh tak saya beli tanah geran kongsi?”

Istilah tanah geran kongsi itu pun sebenarnya banyak mengundang kekeliruan kepada orang awam.

Saya hendak bagi tahu di sini, ada tanah geran kongsi yang BOLEH DIBELI dan ada juga tanah geran kongsi yang TAK BOLEH DIBELI.

Nak tahu boleh beli atau tak tanah geran kongsi tersebut, kita kena tanya satu soalan penting, tanah ini kalau saya beli boleh atau tak DIPINDAH MILIK KEPADA NAMA SAYA DALAM GERAN?

Bagaimana nak tahu tanah geran kongsi tersebut boleh dipindah milik kepada nama kita atau tak?

Ada dua kategori tanah GERAN KONGSI.

Kategori 1: Tanah Geran Kongsi LOT LIDI

Tanah pertanian, tetapi dijual dengan tanah lot bangunan kepada lebih daripada seorang pembeli.

Penjualan hanyalah berdasarkan kepada pelan lakaran sahaja dan geran individu untuk setiap lot tersebut masih belum ada.

Nama pemilik dalam geran asal hanyalah seorang atau dua (2) orang tetapi yang membelinya lebih daripada dua (2) orang.

Mereka ini didakwa kononnya akan berkongsi geran tetapi hakikatnya geran pun tak ada lagi bagaimana mungkin mereka nak berkongsi geran.

Inilah yang kita panggil sebagai LOT LIDI.

Gambar: K-Literasi

Tanah geran kongsi kategori ini kalau anda beli memang TIDAK AKAN BOLEH DIPINDAH MILIK kepada nama anda. Sebabnya ada halangan daripada segi undang-undang.

Nak pindah milik macam mana kalau pemilik seorang tetapi pembeli 10 orang, melainkan terpaksa buat pecah sempadan dan tukar syarat kepada status bangunan terlebih dahulu sehinggalah keluar geran individu yang berasingan berstatus bangunan.

Kemudian barulah boleh dipindah milik kepada nama pembeli.

Kategori 2: Tanah geran kongsi PEMILIKAN BERSAMA

Tanah ini dimiliki oleh banyak pemilik (penama) dalam geran. Dan setiap pemilik mempunyai bahagian masing-masing yang dinyatakan dengan jelas dalam geran.

Tanah geran kongsi kategori ini boleh dipindah milik kepada nama anda jika anda beli mana-mana bahagian  daripada bahagian penama tadi. Sebab bahagiannya jelas dinyatakan dalam geran.

Cuma kalau anda nak beli keseluruhan tanah tersebut, anda perlu dapatkan persetujuan (tandatangan) daripada semua penama dalam geran tersebut.

Gambar: K-Literasi

Tetapi kalau hendak beli satu bahagian daripada bahagian yang dimiliki oleh mana-mana penama tadi, tidak perlu dapatkan persetujuan kesemua penama dalam geran.

Boleh terus buat pindah milik bahagian tersebut daripada nama penama tersebut kepada nama anda.

Sekarang dah boleh faham tak beza antara TANAH GERAN KONGSI LOT LIDI dan TANAH GERAN KONGSI PEMILIKAN BERSAMA?

Sila LIKE dan SHARE jika artikel ini bermanfaat.

Terima kasih.

SALKUKHAIRI ABD SUKOR
Timbalan Presiden
Pertubuhan Kebajikan dan Literasi Undang-Undang
(K-Literasi)

Sumber: K-Literasi

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.