Siakap Keli
Gambar: Google

Apa Nak Buat Kalau Tuan Tanah Depan Tak Bagi Lalu Atas Tanahnya Untuk Ke Tanah Kita? Ini Penjelasan Peguam

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Terdapat pelbagai isu yang sering terjadi melibatkan hak pemilikan tanah dalam kalangan masyarakat kita.

Antara yang paling ‘panas’ adalah batu sempadan, ruang jalan berhampiran rumah, ‘termakan’ sedikit kawasan tanah jiran dan sebagainya.

Kali ini, Timbalan Presiden Pertubuhan Kebajikan dan Literasi Undang-Undang Malaysia (K-LITERASI), Salkukhairi Abd Sukor berkongsi mengenai isu tuan tanah tidak benarkan kita lalu atas tanahnya untuk menuju ke tanah kita.

Ikuti penjelasan bermanfaat ini.

Gambar contoh tanah yang ditutup. Sumber: K-LITERASI

Bagaimana nak buat jika tuan tanah hadapan tak benarkan lalu atas tanah miliknya untuk ke tanah kita?

Ramai pulak yang tanya saya soalan tentang masalah ini.

Biasa terjadi, seorang memiliki sebidang tanah yang mana kedudukannya dua (2) atau tiga (3) lapis dari jalan.

Ini menyebabkan tuan tanah tersebut terpaksa membuat satu laluan yang mungkin melalui tanah milik orang lain untuk pergi ke tanahnya dan laluan itu digunakan oleh orang awam untuk keluar masuk dari jalan utama ke tanah masing-masing.

Yang menjadi masalahnya kadangkala ada pemilik tanah lapisan hadapan tidak membenarkan penduduk-penduduk lain melalui laluan tersebut atas alasan ia melalui tanah miliknya.

Bahkan ada pemilik tanah lapisan hadapan yang sanggup membuat halangan di atas laluan tersebut sehingga menyebabkan kesukaran kepada orang lain untuk lalu ke tanah masing-masing.

Jika berlaku situasi di atas, apakah tindakan yang boleh dilakukan oleh penduduk-penduduk yang lain?

1- Semak di pejabat tanah

Sebaiknya elok penduduk-penduduk tersebut membuat semakan di pejabat tanah sama ada kawasan yang tuan tanah hadapan buat halangan itu, adakah termasuk dalam kawasan tanah beliau atau tidak.

Jika bukan dalam kawasan tanah beliau, penduduk boleh buat laporan polis dan laporan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) atas alasan halangan tersebut menyebabkan kacau ganggu terhadap ketenteraman awam.

Walau bagaimanapun, jika benar jalan tersebut dalam kawasan tanah beliau, tindakan dalam item 4 dan 5 di bawah.

2- Semak dengan juruukur

Semak juga dengan juruukur berlesen untuk sahkan ukuran dan keluasan sebenar tanah beliau.

Jika di kawasan yang beliau buat halangan itu bukanlah termasuk dalam tanah beliau, tindakan dalam item 1 di atas juga boleh diambil.

Gambar sekadar hiasan. Sumber: Google

3- Semak adakah digazet sebagai jalan kerajaan

Semak juga dengan pejabat tanah sama ada jalan itu telah digazetkan sebagai jalan kerajaan atau tidak.

Jika sudah digazetkan sebagai jalan kerajaan, tuan tanah tersebut tidak berhak buat halangan di atas jalan itu.

Jika buat halangan juga, penduduk boleh ambil tindakan seperti dalam item 1 di atas.

4- Dapatkan hak ismen

Jika jalan tersebut tidak digazetkan sebagai jalan kerajaan dan disahkan termasuk dalam tanah tuan rumah tersebut, penduduk boleh berbincang dengan tuan tanah itu untuk dapatkan hak ismen (hak lalu-lalang) terhadap laluan tersebut di bawah peruntukan Seksyen 282 Kanun Tanah Negara.

Biasanya hak ismen ini memerlukan pemilik tanah bersebelahan membayar sedikit bayaran sama ada secara bulanan atau tahunan kepada tuan tanah tersebut atas persetujuan bersama kesemua pihak.

Dan setelah dipersetujui bersama, ismen tersebut hendaklah didaftarkan di pejabat tanah.

5- Dapatkan hak LAROW

Jika tuan tanah tersebut tidak bersetuju untuk memberikan hak ismen kepada penduduk lain, penduduk boleh failkan permohonan di pejabat tanah untuk dapatkan hak lalu-lalang pentadbir tanah (LAROW) di bawah peruntukan Seksyen 387 Kanun Tanah Negara.

Pejabat tanah akan panggil tuan tanah tersebut dan wakil penduduk untuk perbincangan/inkuiri.

Pentadbir tanah berhak keluarkan perintah hak lalu-lalang pentadbir tanah (LAROW) melalui tanah tersebut demi kepentingan penduduk awam.

Gambar sekadar hiasan. Sumber: Google

6- Pampasan

Jika perintah LAROW dikeluarkan oleh pejabat tanah, penduduk tanah bersebelahan atau pihak kerajaan tidak perlu bayar sebarang pampasan kepada tuan tanah tersebut.

Ini kerana tanah tersebut masih kekal milik beliau. Ianya hanyalah arahan pejabat tanah kepada tuan tanah untuk membenarkan jalan tersebut digunakan sebagai laluan awam.

Melainkan kerajaan bersetuju untuk ambil tanah tersebut di bawah Akta Pengambilan Tanah, maka kerajaan perlu bayar pampasan kepada tuan tanah tersebut.

7- Cabar di mahkamah tinggi

Sekiranya tuan tanah tersebut tidak berpuas hati dengan perintah LAROW yang dikeluarkan oleh pejabat tanah, beliau boleh cabar di mahkamah tinggi. Dan mahkamah akan putuskan kedudukan sebenar.

Diharap panduan dan nasihat ini dapat serba sedikit memberi pencerahan tentang tindakan yang patut diambil untuk menyelesaikan masalah tersebut.

Sekian, terima kasih.

SALKUKHAIRI ABD SUKOR
Timbalan Presiden
Pertubuhan Kebajikan dan Literasi Undang-Undang Malaysia
(K-LITERASI)

Sumber: K-LITERASI

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.