Siakap Keli
Gambar: Bernama

MAQIS Gagalkan Cubaan Seludup 23 Ekor Anjing Di Pintu Sempadan

IPOH, 18 Sept — Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Perak bersama Jabatan Kastam Diraja Malaysia Perak mengagalkan cubaan membawa masuk 23 ekor anjing pelbagai jenis baka dianggar bernilai RM20,000 di pintu masuk Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS), Pengkalan Hulu, semalam.

Pengarah MAQIS Perak Rozita Superman berkata semasa rampasan kesemua anjing tersebut diletakkan dalam lapan sangkar berlainan dan disembunyikan dalam sebuah lori transit yang membawa buah-buahan dari Thailand menuju ke Singapura.

“Jenis baka anjing yang dibawa masuk ialah Pomeranian, Shih Tzu serta French Bulldog dan semuanya tidak mempunyai sebarang dokumen seperti Permit Import sah yang dikeluarkan oleh MAQIS dan Sijil Kesihatan dari negara asal,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Rozita berkata kegagalan mengemukakan Permit Import adalah suatu kesalahan mengikut Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 dan jika disabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali.

“Anjing itu kini disita dan MAQIS sedang menunggu keputusan daripada pejabat Pendakwa Raya dan Ketua Pengarah MAQIS sama ada dilepaskan atau dilelong,” katanya.

Beliau berkata setiap kemasukan keluaran pertanian atau haiwan peliharaan ke negara ini perlu mematuhi syarat dan peraturan yang telah ditetapkan bagi memastikan ia bebas daripada sebarang penyakit.

Sumber: BERNAMA

Aqmal Ezany

I write what is right