ARAU, 18 Sept (Bernama) — Seorang wanita Orang Kurang Upaya (OKU) maut selepas motosikal roda tiga ditunggangnya terbabas ke dalam sawah di Jalan Mini Tar, Taman Guar Halban dekat sini pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Arau Supt Nanda Maarof berkata kejadian pada kira-kira pukul 10.30 pagi itu mengakibatkan Leha Matt, 82, dari Kampung Alor Lancang, Jejawi, di sini meninggal dunia di tempat kejadian.
Beliau berkata motosikal yang ditunggang warga emas ketika hujan itu dikatakan hilang kawalan akibat jalan licin mengakibatkan motosikal itu terbabas ke dalam sawah yang dipenuhi air, terletak tidak jauh dari rumahnya.
“Ketika ditemui orang ramai, mayatnya berada dalam keadaan terbaring di dalam air dan motosikal roda tiga berada diatas badannya,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.
Katanya mayat dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar untuk dibedah siasat, dan kes sedang disiasat mengikut seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1980.
Sumber: BERNAMA