Wanita Nyaris Maut, Kepingan Konkrit Hempap Kereta

KUALA LUMPUR, 19 Sept — Seorang wanita nyaris maut, selepas kepingan konkrit daripada kerja-kerja pembinaan Lebuh Raya Sungai Besi-Ulu Klang (SUKE), terjatuh menghempap kereta yang sedang dipandunya di Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2), petang tadi.

Walaupun kereta Proton Saga BLM itu remuk dihempap kepingan konkrit bersaiz satu meter persegi, namun wanita itu terselamat dan hanya cedera di tangan kirinya.

Ketua Polis Daerah Cheras ACP Mohd Mokhsein Mohamed Zon berkata, kejadian kira-kira 5.45 petang itu berlaku di MRR2 berhampiran sebuah stesen minyak di Bandar Tasik Selatan dari arah Sungai Besi menghala ke Ampang.

“Mangsa berusia 25 tahun yang memandu kereta jenis Proton Saga BLM itu, diselamatkan orang awam sebelum dihantar ke Hospital Canselor Tuanku Mukhriz (HUKM) dan sedang menerima rawatan di Zon Kuning,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Mohd Mokhsein berkata, kejadian tersebut menyebabkan kesesakan lalu lintas dan kerja-kerja pengalihan serta pembukaan semula lorong itu mengambil masa dua jam.

— BERNAMA

Siakap Keli

Berita sejurus ia berlaku? Itulah saya....

Editor: Siakap Keli

Tambah komen

Dari Wiser.my