Siakap Keli
Gambar: Bernama

Police Tero FC Masih Menanti Ketibaan Sumareh

BANGKOK, 23 Sept  — Pasukan liga utama Thailand, Police Tero FC masih menanti ketibaan pemain baharunya, Mohamadou Sumareh, pemain naturalisasi pertama Malaysia.

Pemain sayap pasukan Pahang berusia 26 tahun itu melengkapkan perpindahannya untuk menyertai pasukan di tangga keempat Liga 1 Thailand, pada 7 Sept lepas.

Bagaimanapun Pengurus Police Tero FC Tanya Vongnark berkata ketibaan Sumareh ke Thailand tertangguh disebabkan penularan pandemik COVID-19.

Katanya pemain kelahiran Gambia itu kini menunggu untuk mendapatkan Permit Masuk daripada Keduataan Besar Thailand di Malaysia serta Pusat Pentadbiran Situasi COVID-19 (CCSA) untuk memasuki Thailand.

“Kami telah menyiapkan semua dokumen yang diperlukan sejak 6 Sept lepas bagi membolehkan Sumareh bermain dengan kami musim ini. Kami mahu dia datang ke sini secepat mungkin.

“Sumareh mempunyai keinginan untuk bermain dalam liga Thailand. Dia mahu membuktikan kebolehannya. Ini adalah cabaran baharu (untuk Sumareh). Ia pastinya sesuatu yang menarik untuknya,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Sumareh bakal bergandingan dengan rakan skuad Harimau Malaya, Dominic Tan yang menandatangani kontrak selama dua tahun dengan Police Tero FC pada Julai tahun lepas.

Menurut Tanya, Sumareh perlu terlebih dahulu menjalani kuarantin wajib di hotel yang ditetapkan sejurus tiba.

Mengulas mengenai perselisihan antara Sumareh dan Persatuan Bola Sepak Pahang (PBNP), Tanya berkata Polis Tero FC mematuhi peraturan perpindahan oleh Persekutuan Bola Sepak Persatuan Antarabangsa (FIFA).

“FIFA memberikannya (Sumareh) Sijil Perpindahan Antarabangsa (ITC). Jadi, perpindahannya adalah rasmi. Pertikaian antara Sumareh dan bekas kelab bola sepaknya tidak ada kaitan dengan Police Tero FC. Kami tidak akan masuk campur,” katanya.

Pada 2018, Sumareh telah mendapat kewarganegaraan Malaysia dan menyarung jersi Harimau Malaya selepas menjalani proses naturalisasi.

Pemain berkenaan yang mempunyai baki kontrak bersama Pahang sehingga 2022, beralih ke Police Tero FC dua minggu selepas jurulatih Pahang Dollah Salleh mendedahkan bahawa pemain itu dilaporkan tidak menjalani sesi latihan pasukan itu sejak awal Ogos.

Sumareh juga dilaporkan turut tidak menghadiri beberapa aksi Liga Super melibatkan Pahang sebaik sahaja saingan Liga Malaysia bersambung pada 28 Ogos.

Media Malaysia sebelum ini melaporkan bahawa kemelut antara Sumareh dan PBNP adalah disebabkan kegagalan persatuan itu membayar tunggakan gaji, yang menyebabkan dia membuat tuntutan lebih RM1 juta dari Pahang melalui peguamnya yang berpangkalan di Switzerland.

Sumber: BERNAMA

Aqmal Ezany

I write what is right