Siakap Keli

Nor Aqilah Mangsa Terakhir Yang Koma Akibat Keracunan Gas Karbon Monoksida Sudah Sedar – Polis

BUKIT MERTAJAM, 25 Sept – Mangsa terakhir keracunan karbon monoksida ketika empat sahabat tertidur di dalam sebuah kereta semasa berhenti di kawasan parkir sebuah stesen minyak di Sama Gagah, Butterworth, dekat sini Rabu lepas, telah sedar daripada koma.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) ACP Shafee Abd Samad berkata selepas seminggu menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan di Kuala Lumpur, Nor Aqilah Mohd Safwan, 21, kini semakin stabil.

“Polis menerima maklumat bahawa Nor Aqilah sudah sedar daripada koma dan mangsa juga dikatakan mengenali ahli keluarga yang datang melawatnya. Dia memberi respons dengan menganggukkan kepala tanda kenal mereka (ahli keluarga),” katanya di sini, hari ini.

Dalam kejadian itu, tiga wanita, Sharifah Fariesha Syed Fathi, Ayuni Shazwanie Shabri dan Nor Adilah Mohd Safwan meninggal dunia, manakala Nor Aqilah kritikal.

Keempat-empat mereka yang berumur 21 tahun ditemukan tidak sedarkan diri di kawasan tempat letak kereta stesen minyak Sama Gagah, dipercayai akibat keracunan karbon monoksida apabila mereka tertidur semasa berehat di dalam kereta itu, dengan cermin tingkap tertutup.

Semua pelajar di sebuah kolej perubatan swasta di Batu Caves itu dikatakan singgah berehat di stesen minyak berkenaan kira-kira 8.30 malam selepas Nor Aqilah yang memandu kereta jenis Honda Odyssey tersebut memaklumkan dia pening dan muntah.

Mereka ketika itu dalam perjalanan pulang ke rumah masing-masing di Sungai Petani dan Gurun, Kedah selepas bercuti di Pulau Jerejak, Pulau Pinang sempena Hari Malaysia.

— BERNAMA

Edayu

Lebih banyak menulis dari bersembang