Satu gambar yang diambil di dalam sebuah rumah ladang yang terbiar mendapat perhatian warganet kerana penampakan satu wajah yang menyeramkan di sebalik piano di rumah itu, lapor Mirror.

Gambar tersebut telah diambil oleh seorang penjelajah di dalam rumah di Singleton, Lancashire, yang dibiarkan reput dengan set televisyen lama, pinggan mangkuk dan potret hitam putih yang berusia puluhan tahun.

Sosok bayang-bayang yang kelihatan seperti wajah anak patung ‘Chucky’ berada tepat di atas lantai berkarpet dapat dilihat menerusi gambar itu.

Namun, penjelajah tersebut menegaskan bahawa tiada sebarang anak patung di dalam bilik tersebut dan dia menganggap itu adalah bayang-bayang yang tercipta disebabkan oleh cahaya yang menyinari ke dalam ruang tamu rumah berusia 140 tahun itu.


“Saya tidak pasti apakah ia sebenarnya namun ia kelihatan seperti bayang-bayang. Ia tentunya menyeramkan,” katanya.

Gambar-gambar lain juga menyaksikan rumah tersebut dipenuhi dengan barang-barang antik termasuk piano, mesin jahit, set televisyen, almari dan perabot lain.
Sumber: Mirror