Utama

Sukan

Politik

Berita

Berita

Politik

Politik

Sukan

Politik

Berita

Berita

Politik

Politik

Hukum Tukar Wajah Jadi Gambar Patung Guna AI – Mufti WP
Baru-baru ini, tular trend menukar wajah kepada patung mini menggunakan aplikasi AI di media sosial.
Ramai pengguna mencubanya kerana hasil gambar kelihatan menarik dan kreatif. Malah, seakan-akan seperti figura mini manusia yang realistik.
Namun, trend ini turut menimbulkan persoalan hukum dalam Islam kerana ia melibatkan imej makhluk bernyawa.
Bagi menjawab persoalan tersebut, Mufti Wilayah Persekutuan tampil memberikan penjelasan berhubung hukum perkara ini.
Assalamualaikum SS Mufti. Saya ingin bertanya berkaitan trend terbaharu di media sosial yang menukar wajah kepada patung dengan menggunakan Artificial Intelligence (A.I).
Adakah diharuskan untuk melakukan sedemikian?
Mohon penjelasan. Terima kasih.
Hukum perbuatan menukar wajah kepada gambar patung dengan menggunakan artificial intelligence (A.I) adalah harus dan dibolehkan.
Ini kerana ia sama sekali berbeza dengan larangan pembuat patung yang mempunyai ukiran dan bertujuan untuk disembah.
Selain daripada itu, syarat selagimana tidak melakukan perkara yang bercanggah dengan syarak seperti mengaibkan, mempamerkan aurat, menjatuhkan maruah dan seumpamanya.
Ini kerana ia hanya suatu penghasilan imej yang berbentuk patung daripada wajah yang sebenar yang tidak termasuk dalam larangan daripada syarak berkaitan perbuatan mengukir patung untuk disucikan dan diagungkan.
Waallahu a’lam.
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.
Perkembangan pesat teknologi Artificial Intelligence (A.I.) telah membuka dimensi baharu dalam pelbagai bidang, termasuk seni digital.
Seiring dengan kemajuan ini, satu trend media sosial yang semakin popular telah muncul di mana pengguna menggunakan aplikasi berasaskan A.I. untuk menukar foto wajah mereka kepada imej patung atau miniature.
Contohnya patung kecil di atas meja dalam kotak mainan dengan butiran seperti latar belakang alam sekitar atau kotak pembungkusan.
Platform A.I yang pelbagai ini telah membolehkan penggunanya untuk mencipta imej photorealistic atau bergaya 3D.
Fenomena ini yang pada dasarnya merupakan aktiviti santai dan hiburan telah menimbulkan persoalan fiqh yang penting dari sudut pandang Islam iaitu berkaitan dengan hukum perbuatan membuat gambar makhluk bernyawa.
Seperti hadis yang diriwayatkan daripada Abdullah Ibn Mas‘ud bahawa dia mendengar Rasulullah SAW bersabda:
إنَّ أشَدَّ النّاسِ عَذابًا يَومَ القِيامَةِ المُصَوِّرُونَ
Maksudnya: Sesungguhnya manusia yang paling pedih azabnya di hari Kiamat ialah orang-orang yang mengukir patung (untuk disembah).
Riwayat al-Bukhari dan Muslim
Hal ini kerana ‘illah larangan dalam hadis ini merujuk kepada pembuatan patung yang mempunyai ukiran dan digunakan untuk disembah.
Sedangkan trend yang berlaku itu melibatkan perbuatan menukar foto kepada gambar miniatur yang bukanlah patung diukir secara sebenar dan hakiki, melainkan hanya sekadar gambar sahaja.
Hal ini sepertimana yang dinukilkan daripada Imam al-Nawawi bahawa:
وَقَالَ النَّوَوِيُّ: هَذَا مَحْمُولٌ عَلَى مَنْ صَوَّرَ الْأَصْنَامَ لِتُعْبَدَ فَلَهُ أَشَدُّ الْعَذَابِ لِأَنَّهُ كَافِرٌ
Maksudnya: Imam al-Nawawi berkata: Ini difahami kepada sesiapa yang mengukir patung untuk disembah, maka dia akan mendapat yang paling pedih kerana dia seorang yang kafir.
Di samping itu, Syeikh Rashid Ridha juga menyatakan bahawa larangan dalam hadis ini merujuk kepada zaman jahiliah dahulu yang menyembah berhala dengan tujuan yang melalaikan dan mengambil berkat daripadanya.
Perkara ini akan membawa kepada perbuatan syirik kepada Allah SWT.
Kata beliau:
فإذا أوردت عليه حديث: إن أشد الناس عذابًا يوم القيامة المصورون، أو ما في معناه مما ورد في الصحيح، فالذي يغلب على ظني أنه سيقول لك: إن الحديث جاء في أيام الوثنية، وكانت الصور تتخذ في ذلك العهد لسببين: الأول: اللهو، والثاني: التبرك بمثال من ترسم صورته من الصالحين، والأول مما يبغضه الدين، والثاني مما جاء الإسلام لمحوه. والمصور في الحالين شاغل عن الله، أو ممهد للإشراك به؛ فإذا زال هذان العارضان وقصدت الفائدة كان تصوير الأشخاص بمنزلة تصوير النبات والشجر في المصنوعات.
Maksudnya: Telah diriwayatkan hadis: “Sesungguhnya manusia yang paling pedih azabnya pada hari kiamat ialah orang yang mengukir patung” atau hadis sahih lain yang seumpama dengannya.
Apa yang menjadi sangkaan yang kuat bagi diriku bahawa beliau akan mengatakan kepada kalian bahawa:
Hadis ini disebutkan pada zaman penyembahan berhala dan patung pada ketika tersebut disiapkan atas dua tujuan:
Pertama, sekadar bersuka-suka dan kedua, untuk mengambil keberkatan daripada rupa bentuk yang ditiru daripada orang soleh.
Tujuan pertama itu merupakan perkara yang dibenci dalam agama, manakala tujuan yang kedua merupakan perkara yang ingin dihapuskan dengan kedatangan ajaran Islam.
Orang yang mengukir patung di dalam kedua-dua keadaan tersebut menyibukkan diri dengan selain Allah SWT atau membuka jalan kepada kesyirikan.
Justeru apabila hilangnya kedua-dua tujuan tadi dan meniatkan faedah yang baik, maka hukumnya sama seperti menggambarkan tumbuhan dan pokok dalam ukiran.
وإن كانت الصورة لذي روح، وليس فيها ما تقدم من المحظورات: أي لم تكن مما يقدس ويعظم ، ولم يقصد فيها مضاهاة خلق الله، فالذي أراه ، أنها لا تحرم أيضا.
Maksudnya: Sekiranya gambar itu merupakan makhluk yang mempunyai ruh dan tidak mempunyai unsur-unsur keharaman yang telah disebutkan iaitu tidak disucikan dan diagungkan serta tidak pula bertujuan menyaingi ciptaan Allah SWT.
Maka, menurut pandanganku bahawa hukumnya juga tidak haram.
Hal ini dengan merujuk kepada hadis yang diriwayatkan daripada Saidatina Aisyah RA bahawa:
كُنْتُ أَلْعَبُ بِالْبَنَاتِ عِنْدَ النَّبِىِّ – صلى الله عليه وسلم – وَكَانَ لِى صَوَاحِبُ يَلْعَبْنَ مَعِى ، فَكَانَ رَسُولُ اللَّهِ – صلى الله عليه وسلم – إِذَا دَخَلَ يَتَقَمَّعْنَ مِنْهُ ، فَيُسَرِّبُهُنَّ إِلَىَّ فَيَلْعَبْنَ مَعِى.
Maksudnya: Aku pernah bermain patung permainan ketika tinggal bersama Nabi SAW, sedangkan aku memiliki beberapa sahabat yang biasa bermain bersamaku.
Maka, ketika Rasulullah SAW masuk dalam rumah, sehabat-sahabat aku itu pun bersembunyi dari Baginda.
Lalu Baginda SAW menyerahkan mainan padaku satu demi satu lantas mereka pun bermain bersamaku.
Riwayat al-Bukhari
Oleh yang demikian, hukum perbuatan menukar wajah kepada gambar patung dengan menggunakan AI adalah harus dan dibolehkan selagimana tidak melakukan perkara yang bercanggah dengan syarak.
Oleh yang demikian, kami menetapkan keharusan dengan beberapa garis panduan terhadap perbuatan ini seperti berikut:
Gambar yang dihasilkan tersebut hanya berbentuk patung mainan atau miniatur dan tidak digunakan bagi ukiran patung sebenar.
Hendaklah gambar tersebut tidak menimbulkan fitnah atau syak yang menyebabkan pelakunya akan dituduh dengan tuduhan yang tidak baik.
Hendaklah gambar tersebut tidak mengaibkan, mempamerkan aurat, menjatuhkan maruah dan seumpamanya.
Tujuan gambar tersebut dihasilkan adalah tujuan sekadar untuk berhibur serta bukan berniat jahat seperti menjatuhkan orang lain, mencari perhatian orang ramai untuk ujub dan seumpamanya.
Oleh itu, hukum perbuatan penghasilan imej yang berbentuk patung daripada wajah yang sebenar ini diharuskan selagimana mengikut kepada garis panduan yang ditetapkan di atas.
Waallahu a’lam.
BACA: Hukum Gali Semula Jenazah Yang Telah Dikebumikan – Mufti WP
BACA: Mufti Wilayah Jelaskan Hukum Menyentuh & Mempamerkan Anjing Di Media Sosial
BACA: Mufti Selangor Perjelas Hukum Jual Beli “Blind Box”
Sumber: Mufti Wilayah Persekutuan