Siakap Keli

Arab Saudi Benarkan Semula Pelaksanaan Ibadah Umrah Secara Berperingkat Bermula Esok

Pelaksanaan umrah akan dibuka secara berperingkat bermula Ahad ini (4 Oktober 2020), lapor Gulf News.

Pun begitu, tiada jemaah yang disyaki positif koronavirus akan dibenarkan untuk masuk ke Masjidil Haram.

Kata Timbalan Ketua Presiden Umum untuk hal ehwal Masjidil Haram, Ahmed bin Mohammed Al-Mansouri, kementerian kesihatan telah mempersiap pusat kesihatan berskala kecil dengan keperluan lengkap untuk menguruskan kes-kes disyaki berkait koronavirus.

Tambahnya, jemaah diberi masuk secara berkumpulan dengan hanya 1,000 jemaah bagi setiap kumpulan.

“Para jemaah akan dipandu di trek yang terpisah dari luar Masjidil Haram hingga ke mataf (kawasan tawaf di sekitar Kaabah Suci). Akan ada 16 ketua yang akan menerima jemaah di halaman dan mengarahkan mereka ke Masjidil Haram,” katanya.

Selain itu katanya, aktiviti tawaf akan dimulakan secara spiral dan para jemaah akan terus menuju masa’ (kawasan untuk ritual sa’i antara Safa dan Marwah) setelah selesai tawaf.

Usai sa’i, jemaah akan bergerak keluar dari Masjidil Haram melalui pintu Marwah dan Arqam.

Ujarnya, waktu umrah akan bermula dari 7 pagi hingga ke 3 pagi.

“Kamera pengesan haba beresolusi tinggi akan dipasang di semua pintu masuk Masjidil Haram, dan orang ramai dilarang beriktikaf dan membawa makanan serta minuman ringan ke dalam masjid.

Katanya lagi, masjid berkenaan akan dibersihkan 10 kali sehari sebelum dan selepas aktiviti ibadah umrah oleh kumpulan jemaah.

Semua fasiliti dan peralatan seperti karpet, kerusi roda dan eskalator akan disteril, manakala tandas akan disteril enam kali sehari.

Di samping itu, sistem penyaman dan penapisan udara akan disteril menggunakan sinaran ultraungu beberapa kali sehari, katanya.

September lalu, Arab Saudi dilaporkan akan membenarkan kemasukan kepada jemaah daripada negara tertentu bermula 1 November akan datang.

Pembukaan itu akan bermula sebaik kapasiti dinaikkan kepada 20,000 jemaah setiap hari.

Fasa kedua pembukaan semula ini akan dilaporkan bakal dilaksana pada 18 Oktober di mana seramai 15,000 jemaah akan dibenarkan masuk.

Sumber: Gulf News, DW

Amira

Love yourself.

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.