Siakap Keli

Aplikasi JomParking Kembali Beroperasi Semula di Kawasan DBKL Bermula 7 Oktober

 

Aplikasi pembayaran parkir popular JomParking akan kembali beroperasi semula di kawasan parkir Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bermula 7 Oktober 2020, demikian kata DBKL menerusi satu kenyataan media yang dimuat naik hari ini menerusi laman Facebook mereka.

Kenyataan itu dikeluarkan susulan satu kenyataan yang dibuat sebelum ini pada 30 September tentang kaedah baru pembayaran parkir di kawasan DBKL yang mana tidak menyebut tentang aplikasi JomParking sehingga menimbulkan tanda tanya pengguna-pengguna sedia ada.

DBKL sentiasa prihatin terhadap perkhidmatan yang terbaik kepada pelanggan khususnya warga kota Kuala Lumpur. Oleh yang demikian, DBKL bersetuju untuk menambah aplikasi JOMPARKING sebagai pilihan untuk kaedah Caj Petak Tempat Letak Kereta Bahu Jalan di WPKL bermula 7 Oktober 2020 (Rabu). la bagi memudahkan pengguna sedia ada yang mempunyai aplikasi tersebut untuk membuat transaksi.“, tulisnya pada kenyataan terbaru itu.

Dalam pada itu, DBKL juga menyeru orang ramai untuk menyesuaikan diri dengan kaedah pembayaran digital setelah penggunaan mesin-mesin pembayaran parkir di kawasan terbabit dihentikan serta merta.

JomParking; sebuah aplikasi kaedah pembayaran parkir; merupakan antara aplikasi telefon pintar terawal yang menyediakan kaedah pembayaran parkir bahu jalan dan berpagar secara digital di Malaysia.

Menurut laman webnya, selain kawasan DBKL, aplikasi itu turut menyokong Majlis Perbandaran Seremban (MPS), Majlis Perbandaran Tawau (MPT), Tanah Merah, kawasan parkir RapidKL, TBS dan lain-lain. Senarai kawasan yang disokong boleh disemak melalui pautan https://web.jomparking.com/location.

Siakap Keli

Berita sejurus ia berlaku? Itulah saya....