Siakap Keli
Gambar: Google

Ini 6 Jenis Makanan Yang Selalu Jadi Punca Keracunan, Hati-hati Jika Nak Makan

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Keracunan makanan pastinya menjadi mimpi ngeri bagi sesiapa yang pernah mengalaminya. Bukan sahaja cirit birit, pesakit biasanya akan hilang selera makan, kekejangan, muntah-muntah, sakit kepala dan mungkin disertai demam.

Bagi individu yang mengalami keracunan lebih serius yang mungkin meragut nyawa, mereka mungkin mengalami kesukaran bertutur, demam panas melebihi 38.6°C, cirit-birit melebihi tiga hari, dehidrasi dan kencing berdarah (Healthline, 2017)

Menurut Hello Doktor, ia boleh berlaku jika berlaku pencemaran ketika pengendalian makanan selain menggunakan bahan yang telah tamat tempoh.

Berikut merupakan 6 makanan yang sering menjadi punca keracunan dikongsikan Hello Doktor.

1. Telur mentah

Telur mentah sering terdedah kepada pencemaran yang disebabkan oleh bakteria salmonella. Cara untuk mencegah keracunan ini adalah dengan mencuci telur sebelum dimasak dan memastikan ia masak sepenuhnya atau sekurangnya-kurangnya matang. Ibu yang mengandung harus mengelakkan daripada memakan telur separuh masak, okay?

2. Sayuran

Sayuran hijau seperti buncis, salad, sawi, bayam atau sayur-sayuran lain merupakan sajian yang baik dan menyihatkan. Tetapi tanpa anda sedari sayuran seperti ini juga berpotensi menjadi penyebab keracunan makanan.

Ini kerana sayur mudah tercemar dengan kotoran yang terdapat pada tanah. Penggunaan pisau yang sama dengan daging mentah juga boleh menyebabkan pencemaran silang. Jadi berhati-hati, ya?

Gambar hiasan. (Kredit: Google)

3. Tuna

Ikan seperti tuna juga boleh meningkatkan risiko keracunan apabila ia sudah tercemar dengan scombrotoxin. Masalah ini boleh menyebabkan anda berasa sakit kepala, kekejangan dan kemerahan pada seluruh badan.

Kaedah penyimpanan ikan tuna yang tidak betul atau disimpan pada tempat yang melebihi suhu 60 ℃ akan menyebabkan racun keluar daripada ikan. Bahaya!

4. Daging merah

Hidangan daging yang tidak dimasak sempurna seperti daging mentah mengandungi racun dari pencemaran bakteria E.coli. Cara terbaik untuk mencegah keracunan disebabkan oleh daging adalah dengan memastikan ia dimasak dengan sempurna.

Gambar hiasan. (Kredit: Google)

5. Tiram

Makanan laut dari jenis kerang-kerangan boleh menjadi punca keracunan makanan. Tiram merupakan antara makanan yang boleh menjadi punca keracunan disebabkan pencemaran virus dan bakteria berbahaya dari air yang tersimpan di dalamnya.

Bahkan cara pengendalian tiram yang salah sebelum dan saat dimasak juga meningkatkan risiko keracunan. Tiram mentah biasanya mengandungi racun vibrio vulnificus dan ia boleh memberikan reaksi alahan teruk seperti muntah, cirit-birit dan mual berlebihan.

6. Kentang

Biasanya kita akan membeli kentang dalam jumlah yang banyak, bukan? Tetapi selepas ini, mungkin anda ingin membelinya dalam jumlah yang sedikit sahaja. Ini kerana kentang yang disimpan terlalu lama berisiko terdedah kepada pencemaran silang dari Listeria, E.coli, Salmonella dan Shigella. Pencemaran ini boleh berlaku jika kentang disimpan bersama makanan lain seperti daging mentah.

Gambar hiasan. (Kredit: Google)

Kesimpulan

Anda mungkin menganggap bahawa keracunan makanan adalah satu isu kecil. Tetapi hakikatnya mengalami masalah ini boleh mengganggu perjalanan tugasan harian anda.

Jadi sebaiknya, pastikan anda mengutamakan soal kebersihan sama ada dalam aspek penyimpanan dan penyediaan makanan serta kebersihan diri seperti membasuh tangan sebelum makan.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Sumber: Hello Doktor, Healthline

Amira

Love yourself.