Siakap Keli

(Video) Kim Jong Un Menangis, Mohon Maaf Atas ‘Kegagalan’ Ketika COVID-19 Melanda

Pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un dilihat mengalirkan air mata ketika memberi ucapan semasa perbarisan tentera baru-baru ini.

Menurut Daily Mail, pemimpin itu dikatakan memohon kemaafan atas ‘kegagalannya’ ketika COVID-19 melanda dunia.

“Rakyat kita telah meletakkan kepercayaan setinggi langit dan sedalam lautan terhadap saya, tetapi saya telah gagal untuk memenuhinya dengan baik. Saya betul-betul minta maaf,” katanya, berdasarkan terjemahan oleh The Korea Times.

Dalam video tersebut, kelihatan Jong Un menanggalkan kaca mata dan mengesat air matanya sebelum menyambung kembali ucapan.

Ucapan tersebut telah dirakam ketika perbarisan ulangtahun ke-75 parti Buruh memerintah negara itu.

“Walaupun saya telah diberi tanggungjawab penting untuk memimpin negara ini menegakkan perjuangan Kim Il-sung dan Kim Jong-il yang hebat berkat kepercayaan semua orang, usaha dan ketulusan saya belum cukup untuk menghapuskan kesusahan hidup rakyat kita,” tambahnya.

Pakar analisis percaya ucapan itu merupakan manifestasi tekanan ke atas rejim susulan kesukaran dihadapi negara itu kini iaitu COVID-19, sekatan antarabangsa dan bencana alam.

Pengarah bahagian Korea Utara di Institut Penyatuan Nasional Korea, Hong Min dilaporkan berkata, “Di sebalik mesejnya, kita dapat rasakan beliau berasa tekanan ke atas kepimpinannya.”

 

 

Sumber: Daily Mail

Amira

Love yourself.