Siakap Keli
Gambar: Google

Orang Ramai Diminta Bertenang, Jangan Buat Pembelian Panik – KPDNHEP

PUTRAJAYA, 14 Okt – Orang awam dinasihatkan supaya bertenang dan tidak membuat pembelian panik berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dikuatkuasakan sejak tengah malam tadi.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, bekalan barang terutamanya makanan dan barang keperluan masih dijamin mencukupi pada harga yang stabil dan munasabah.

“Kementerian telah membuktikan melalui tindakan yang telah diambil untuk memastikan bekalan makanan tidak terputus semasa PKP dilaksanakan dahulu.

“Kementerian mempunyai 2,269 anggota penguatkuasa di seluruh negara yang sentiasa memantau dan memeriksa bagi memastikan bekalan mencukupi dan harga stabil tanpa kenaikan mendadak,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, pengilang, pengeluar, pemborong dan peruncit diingatkan untuk memastikan semua bekalan keperluan sentiasa mencukupi.

Dalam masa sama, pengguna turut dinasihatkan untuk membeli barangan mengikut keperluan sahaja dan tiada keperluan untuk menyimpan stok berlebihan.

“Pengguna juga digalakkan membuat pembelian secara atas talian bagi mengurangkan pergerakan fizikal ke premis perniagaan.

“Secara tidak langsung, kita dapat membantu memutuskan rantaian pandemik COVID-19,” tambah kenyataan itu lagi.

Sebarang aduan boleh disalurkan kepada KPDNHEP melalui portal dan emel ke [email protected], talian 1-800-886-800, aplikasi Ez ADU, Enforcement Command Centre (ECC) di talian 03-8882 6245/6088, Malaysia Government Call Centre di talian 03-8000 8000 atau WhatsApp ke 019-279 4317.

Mengimbas kembali, seluruh negeri Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya telah dilaksanakan PKPB bermula tengah malam tadi sehingga 27 Oktober ini.

Sumber: KPDNHEP

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'