Siakap Keli
Gambar: Daily Mail

Anak Jerung Berwarna ‘Putih Susu’ Dilapor Ditemui Nelayan Dengan Hanya Satu Mata Sahaja

Seekor anak ikan jerung bermata satu ditemui oleh seorang nelayan di Indonesia, lapor Daily Mail.

Ikan jerung bermata satu itu dikatakan telah ditemui di dalam perut bangkai seekor ikan jerung dewasa yang terperangkap dalam jaring nelayan di daerah Maluku.

Menurut Daily Mail, nelayan tersebut menemui jerung bermata satu itu setelah dia membersihkan dan membelah perut bangkai jerung dewasa berkenaan.

Jerung tersebut mempunyai satu mata di tengah kepalanya dan berwarna putih susu, sirip dan bahagian lain juga turut sudah kelihatan.

Andy, 29, menyatakan bahawa jerung dewasa itu mungkin sedang bunting sebelum ianya ditangkap secara tidak sengaja dalam jaring pada 10 Oktober.

Dia berkata: “Kami menjumpai tiga ekor jerung di dalam perutnya, tetapi salah satu daripadanya kelihatan aneh kerana mempunyai satu mata.

“Warnanya juga pelik, seperti susu.”

Nelayan tersebut telah melaporkan penemuan itu ke pejabat laut tempatan sebelum menyerahkan anak jerung berkenaan.

Anak jerung itu dilaporkan telah pun mati ketika mereka menemuinya.

Anak jerung tersebut difahamkan menghidapi sindrom yang disebut sebagai Cyclopia, iaitu kecacatan dalam kandungan yang menyebabkan embrio hanya membentuk satu mata dan bukannya dua.

Kecacatan lain yang dihidapinya iaitu Albinisme, telah memaksa ikan jerung itu untuk menghasilkan melanin yang rendah, yang berfungsi untuk pigmen dalam badan.

Sumber: Daily Mail

 

Aqmal Ezany

I write what is right