Siakap Keli
Gambar: Bernama

Nanas Madu Pengerat Silaturahim Penduduk PPRS Pinggiran Putra

KUANTAN, 22 Okt — Tanaman nanas menjadi pengerat silaturahim penduduk Perumahan Rakyat Disewa (PPRS) Pinggiran Putra di sini yang menjadikan aktiviti berkebun sebagai kegiatan mengisi masa lapang semasa menjalani Perintah Pergerakan Kawalan Bersyarat (PKPB) pada Mei lalu.

Ketua Unit PPRS itu Ruhaiza Jusoh, 44, berkata sebelum ini ada penduduk yang mengusahakan kebun secara bersendirian, namun melihatkan banyak kawasan tanah kosong di sekitar perumahan itu, beliau mencadangkan agar aktiviti tersebut dibuat secara lebih serius.

Menurut kakitangan Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) itu, cadangannya mendapat sambutan baik penduduk yang mempunyai banyak masa luang, khususnya pada waktu petang, berikutan pelaksanaan PKPB.

“Kami bermula dengan tanaman sayur seperti sawi dan bayam sebelum menerima cadangan daripada Yang Dipertua MPK Datuk Hamdan Hussin supaya kami mencari tanaman yang lebih bersifat komersial agar dapat meningkatkan pendapatan penduduk.

“Nanas madu menjadi pilihan kerana buah itu lebih popular disebabkan rasanya yang manis dan boleh dimakan mentah menjadikan potensi pasaran tanaman tersebut lebih besar berbanding jenis lain,” katanya kepada Bernama semasa ditemui di kebun komuniti itu di sini, hari ini.

Ruhaiza berkata kewujudan kebun itu membawa manfaat sampingan iaitu hubungan sesama penduduk semakin mesra kerana mereka banyak meluangkan masa di kebun selain turut saling membantu menyiram tanaman.

Kebun itu juga berfungsi sebagai “serampang dua mata” kerana tiada tanah kosong terbiar yang boleh mendorong pembuangan sampah, sekali gus menjadikan kawasan perumahan tersebut lebih bersih.

“Disebabkan PKPB, kami menetapkan beberapa peraturan kepada penduduk seperti satu tapak kebun diusahakan oleh seorang sahaja untuk mengelakkan berlaku ramai orang berhimpun dalam satu kawasan kecil selain perlu memakai pelitup muka,” katanya.

Sementara itu, Mazlan Sidek, 47, yang berkerusi roda sejak 12 tahun lalu akibat kemalangan berkata beliau tidak menyangka akan serius berkebun kerana tidak pernah bercucuk tanam sebelum ini.

Lebih penting, Mazlan menyifatkan berkebun kini menjadi terapi buat dirinya yang berasa lebih tenang melihat tanamannya membesar serta tidak sabar menunggu hasil.

“Saya juga tak sangka boleh menggembur tanah, membuat batas dan menyemai benih dalam keadaan begini (berkerusi roda). Jiran juga baik hati kerana akan bantu meringankan kerja saya jika melihat saya sukar mengangkat barang berat,” katanya.

Sementara itu, Hamdan berkata kebun nanas tersebut mendapat sokongan  Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) yang menyumbang 2,000 sulur nanas untuk diusahakan penduduk, dengan jangkaan mula memperoleh hasil pada tahun depan.

Selain itu, LPNM  turut menyediakan khidmat nasihat kepada penduduk yang memilih untuk hanya menggunakan baja organik kerana mahu mendapatkan hasil yang lebih baik dari segi kualiti.

Sumber: BERNAMA

Aqmal Ezany

I write what is right