Siakap Keli
china pindah bangunan
Kredit: Google

(Video)Unik, Video Bangunan 7,000 Tan Diangkat Dan Dipindahkan Ke Lokasi Baru ‘Setapak Demi Setapak’ Dalam Tempoh 18 Hari

Jika di Malaysia ada tradisi memindahkan rumah, di China juga ada amalan serupa. Namun, mereka bukan mengubah rumah, sebaliknya mengalihkan bangunan tinggi ke lokasi baru.

Sekitar minggu lalu, pasukan jurutera di Shanghai telah memindahkan bangunan sebuah sekolah rendah tempatan yang berusia 85 tahun.

Bangunan yang dibina pada tahun 1935 dan mempunyai berat mencecah 7,000 tan itu dipindahkan bagi memberi laluan untuk pembinaan pusat komersil baru di kawasan tersebut.

Kebiasaannya, pasukan jurutera akan menggunakan rel slaid gergasi atau flatbed. Pun begitu, berikutan bentuk bangunan sekolah yang berbeza, mereka terpaksa menggunakan cara baru dengan membuatkan bangunan itu ‘berjalan’ menggunakan 200 peralatan seakan ‘kaki’ robot yang dipasang di bawahnya.

Bangunan itu kemudiannya digerakkan setapak demi setapak dan dikatakan mengambil masa 18 hari untuk ke lokasi baru.

Bangunan sekolah itu bukanlah satu-satunya bangunan yang berjaya dipindahkan jurutera ke lokasi baru. Antara bangunan lain yang pernah dialihkan bagi memberi laluan kepada projek pembinaan lain ialah sebuah pejabat lima tingkat di Shandong.

Malah, para pekerja di sana dikatakan meneruskan kerja seperti biasa di dalam bangunan seberat 8,000 tan itu ketika prosedur pemindahan berjalan.

Sumber: SCMP, Indus News, People’s Daily China

Amira

Love yourself.