Siakap Keli
Gambar Via Google/ Salkukhairi Abd Sukor

Peguam Minta Semua Tuan Tanah Peka Dengan 8 Situasi Ini, Risiko Tanah Dimiliki Tiba-tiba Hilang Hak Milik

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Seperti yang diketahui, isu pemilikan tanah tidak kira tanah pusaka atau dibeli sentiasa menjadi perbincangan hangat.

Manakan tidak, pelbagai perkara yang timbul dan menjadi persoalan bagi setiap orang.

Salah satunya jika tuan tanah tiba-tiba hilang hak milik tanahnya. Pasti ramai yang tertanya mengenai perkara ini.

Menerusi kiriman peguam hartanah, Salkukhairi Abd Sukor, beliau berkongsi mengenai lapan kemungkinan yang menyebabkan situasi tersebut berlaku. Ikuti perkongsiannya di bawah ini.

TUAN TANAH TIBA-TIBA DAPATI HILANG HAKMILIK. BAGAIMANA IA BOLEH BERLAKU?

Pernah dengar tak kes dimana seseorang tiba-tiba mendapati dia hilang hakmilik terhadap tanahnya?

Bila buat semakan di Pejabat Tanah di dapati tanah dia telah bertukar kepada nama orang lain atau didapati tanah dia tidak lagi didaftarkan atas namanya atau tiada dalam rekod pendaftaran hakmilik di pejabat tanah.

Bagiamana keadaan tersebut boleh berlaku?

Berdasarkan pengalaman saya, di sini saya kongsi kan beberapa kemungkinan bagaimana boleh berlakunya sesuatu tanah itu boleh hilang hakmilik.

Kemungkinan #1 : Unsur penipuan

Wujudnya unsur-unsur penipuan, desakan atau salah nyata daripada mana-mana pihak terhadap tuan tanah sehingga menyebabkan tuan tanah menandatangani dokumen pindah milik dan menyerahkan geran tanah asal dan lain-lain dokumen kepada pihak tersebut dan seterusnya pindah milik didaftarkan kepada nama pihak-pihak tertentu.

Kemungkinan #2 : Pemalsuan tandatangan

Wujudnya pemalsuan tandatangan tuan tanah pada dokumen pindah milik ataupun pemalsuan geran tanah atau lain-lain dokumen pindah milik yang menyebabkan pindah milik dapat didaftarkan kepada pihak-pihak tertentu.

Kemungkinan #3 : Surat kuasa wakil penuh

Tuan tanah memberikan surat kuasa wakil penuh (Full PA) kepada pihak-pihak tertentu sama ada secara mereka faham/sedar atau tidak faham/sedar sehingga memberi kuasa kepada pemegang wakil kuasa untuk memindah milikkan tanah tersebut kepada mana-mana pihak.

Kemungkinan #4 : Gadaian tanah

Tuan tanah menggadaikan tanahnya kepada mana-mana pihak seperti bank atau individu dan telah menandatangani dokumen gadaian sebagai cagaran kepada hutang yang diberikan, dan akibat kegagalan tuan tanah menjelaskan hutang tersebut, tanahnya dilelong dan seterusnya dipindahmilikkan kepada pihak lain yang berjaya dalam lelongan.

Kemungkinan #5 : Tunggakan cukai tanah

Tuan tanah gagal menjelaskan tunggakan cukai tanah atau tuan tanah melanggar apa-apa syarat nyata pada tanah tersebut sehingga menyebabkan tanahnya “dirampas” oleh kerajaan (melalui pejabat tanah) dan kemudiannya diserahkan oleh kerajaan kepada pihak lain.

Kemungkinan #6 : Pecah amanah

Pecah amanah oleh pihak-pihak tertentu seperti pemegang amanah, termasuklah peguam sebagai stakeholder (pemegang pertaruhan), yang telah mendaftarkan pindah milik tersebut kepada pihak-pihak tertentu walaupun sepatutnya pindah milik tersebut tidak sepatutnya dibuat/ belum boleh didaftarkan lagi di pejabat tanah.

Kemungkinan #7 : Kesilapan teknikal

Kesilapan teknikal di pihak pejabat tanah dalam merekodkan sebarang urusniaga tanah sehingga menyebabkan tanah tersebut didaftarkan kepada nama pihak lain.

Kemungkinan #8 : Tanah diambil oleh kerajaan

Tanah anda di ambil oleh kerajaan di bawah Akta Pengambilan Tanah dan tanpa anda sedari atau mungkin disebabkan anda tidak menerima sebarang notis tentang pengambilan tersebut, tanah anda telah diserahkan kepada pihak lain atau digunakan oleh pihak lain.

Ini antara kemungkinan-kemungkinan berlakunya keadaan di mana tanah seseorang boleh hilang hakmilik tanpa disedari oleh tuan tanah.

Justeru nasihat saya, selalulah buat carian rasmi terhadap status tanah anda dari masa ke semasa.

Sebab walaupun mungkin anda masih pegang geran asal tanah anda, tidak mustahil tanah anda mungkin boleh terlepas ke tangan pihak lain tanpa anda sedari.

Jadi, berwaspada lah selalu.

Sekian, terima kasih.

SALKUKHAIRI ABD SUKOR
Timbalan Presiden
Pertubuhan Kebajikan dan Literasi Undang-undang Malaysia (K-LITERASI)

Sumber: Salkukhairi Abd Sukor

Sofea

There's always another side to every story