Siakap Keli
Kredit gambar: Dr. Mohd Khairul Izwan/Google

Jangan Lupa Pasang Gigi Palsu Bila Sudah Cabut Gigi Kekal, Kenapa? Doktor Ini Dedah Risiko Bahaya Menanti

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Kita mungkin sedia maklum, kalau cabut gigi kekal, pasti ia tidak akan tumbuh semula melainkan ruang itu digantikan dengan gigi palsu.

Namun tahukah anda, apakah risiko yang bakal kita hadapi jika kita membiarkannya kosong tanpa dipasang gigi palsu?

Jawapan bagi persoalan di atas telah dihuraikan seorang pengamal perubatan pergigian, Dr. Mohd Khairul Izwan menerusi Facebooknya baru-baru ini.

Mari ikuti penjelasan ini.

Gambar sekadar hiasan | Kredit: Google

Tahukah anda, sekiranya anda mencabut sebatang gigi kekal (kecuali gigi geraham bongsu) dan kemudian tidak menggantikannya dengan gigi palsu, anda berisiko untuk mengalami kehilangan gigi yang lain juga tanpa anda sedari?

Hal ini kerana, gigi kekal mempunyai sifat untuk saling bertemu antara satu sama lain.

Ini bermaksud, sebatang gigi akan sentiasa berkontak atau menyentuh gigi bersebelahan pada rahang yang sama ataupun menyentuh gigi yang berlawanan pada rahang yang berbeza.

Sifat pertemuan antara gigi ini membentuk suatu hubungan gigitan atau “occlusion” yang harmoni dan seimbang/stabil.

Sekiranya anda mencabut sebatang gigi tanpa menggantikannya dengan gigi palsu, masalah-masalah berikut boleh terjadi:-

1- Gigi pada rahang yang berlawanan akan terlebih tumbuh (“Over Eruption”)

Kredit gambar: Dr. Mohd Khairul Izwan/Google

Berlaku akibat kehilangan gigi pada rahang yang berlawanan.

Akibatnya, gigi pada rahang yang satu lagi akan berusaha untuk bertemu dengan suatu titik sentuh.

Keadaan ini menyebabkan gigi kelihatan memanjang, mendedahkan bahagian akar gigi dan mengakibatkan gigi menjadi sensitif, longgar dan bergoyang.

2- Gigi pada rahang yang sama akan bergerak dan menjadi senget (“Tilting”)

Kredit gambar: Dr. Mohd Khairul Izwan/Google

Kehilangan gigi terutama gigi geraham akan menyebabkan gigitan menjadi tidak stabil atau seimbang.

Daya pengunyahan yang berterusan boleh menyebabkan gigi menjadi senget (tilting) ke arah ruang kosong yag ditinggalkan.

Gigi yang senget akan menyukarkan gigi untuk dibersihkan dan meningkatkan risiko gigi untuk menjadi rosak atau berlubang.

3- Gigi menjadi jarang

Kredit gambar: Dr. Mohd Khairul Izwan/Google

Akibat gerakan daripada pengunyahan yang tidak seimbang, gigi akan mudah bergerak secara perlahan-lahan dan akan mengisi ruang yang ditinggalkan oleh gigi yang telah dicabut.

Kesannya, gigi akan kelihatan seolah-olah menjadi semakin jarang.

4- Gigi hadapan menjadi jongang

Kehilangan gigi geraham juga akan membuatkan individu lebih kerap menggunakan gigi hadapannya untuk mengunyah.

Beban kunyah yang besar dan berterusan boleh menyebabkan gigi hadapan semakin condong ke hadapan mengakibatkan gigi terlihat semakin jongang.

5- Tulang gusi akan menyusut

Kredit gambar: Dr. Mohd Khairul Izwan/Google

Kehilangan gigi yang tidak diganti juga boleh menyebabkan tulang rahang pada bahagian gigi yang dicabut menyusut, dan menyebabkan kurangnya retensi atau tempat untuk pembuatan gigi palsu di masa hadapan.

Akibatnya, gigi palsu akan mudah menjadi longgar dan tidak selesa untuk dipakai.

6- Perubahan fizikal pada muka

Kredit gambar: Dr. Mohd Khairul Izwan/Google

Kehilangan semua gigi akan menyebabkan tinggi wajah seseorang menjadi lebih pendek seterusnya membuatkan individu tersebut kelihatan lebih tua kerana berkurangnya “Occlusion Vertical Dimension“.

Untuk bacaan lanjut tentang Occlusion Vertical Dimension, anda boleh rujuk melalui pautan INI.

Oleh yang demikian, jagalah gigi anda dengan baik bagi mencegah berlakunya kerosakan gigi.

Jika gigi anda telah mengalami kerosakan, hilang atau patah sehingga terpaksa dicabut akibat sesuatu yang tidak dapat dielakkan seperti kemalangan dan lain-lain, gantikanlah gigi yang telah dicabut tersebut dengan gigi palsu bagi mengelakkan masalah-masalah lain seperti yang telah disebutkan di atas daripada berlaku.

Semoga bermanfaat!

“Anda jaga gigi, anda tidak rugi.”

Dr. Mohd Khairul Izwan,
Suka berkongsi.

Jemput follow FB saya dan set Favourites supaya anda tidak tertinggal info yang menarik dan sangat berguna tentang kesihatan pergigian.

#DakwahGigi

Kredit foto: Google

Sumber: Dr. Mohd Khairul Izwan

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'