Sony Picture dilapor sedang mengintai pelakon, Henry Golding untuk membawa watak terkuat di dunia, Saitama dalam siri anime, One Punch Man yang bakal difilemkan nanti.
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, siri anime One Punch Man bukan sahaja menjadi kegilaan di Jepun, malah menjadi fenomena di serata dunia.
One Punch Man mengisahkan Saitama, seorang Hero yang mempunyai satu masalah, iaitu dirinya terlalu kuat sehinggakan semua musuh yang dihadapi mampu ditewaskan dengan satu penumbuk sahaja.
Lama-kelamaan, Saitama menjadi bosan ketika menjalankan tugasnya dan bertekad untuk mencari seorang lawan yang setara dengan kekuatannya.
Pertama kali muncul komik atas talian pada 2009, edisi cetaknya pula diterbitkan pada 2012 dan lebih 30 juta salinan berjaya dijual di seluruh dunia.
Siri ini turut menerima pelbagai pencalonan di pelbagai anugerah ternama. Selain edisi komik atas talian dan edisi cetak, One Punch Man juga diterbitkan sebagai anime dan mempunyai 2 musim setakat ini.
Manakala Henry Golding yang diintai oleh Sony Picture pula merupakan seorang pelakon British kelahiran Malaysia. Beliau sebelum ini pernah menjadi tunjang utama filem Crazy Rich Asian.
Menurut laman web 1MDb, beliau dilahirkan di Kuching, Sarawak dengan ibunya, Margaret Likan, berasal dari Malaysia manakala ayahnya, Clive Golding berasal dari England.
Sumber: Full Circle