Legenda Manchester City, David Silva dilaporkan kembali ke kancah bola sepak profesional pada usia 40 tahun selepas menyertai kelab Liga Perdana Hong Kong, Supreme Sha Tin.
David Silva kembali ke kancah bola sepak profesional
Perkara itu diumumkan menerusi akaun Instagram rasmi kelab berkenaan yang mengalu-alukan kehadiran bekas pemain tengah Sepanyol itu ke dalam skuad mereka.
Menerusi kenyataan tersebut, Silva dijadualkan tiba di Hong Kong pada awal November bagi menyesuaikan diri dengan persekitaran baharu, menyertai sesi latihan bersama pasukan serta meningkatkan tahap kecergasan sebelum membuat penampilan di atas padang.
Kelab itu turut memaklumkan bahawa Silva akan beraksi dalam satu perlawanan terlebih dahulu, namun butiran lanjut mengenai penampilannya akan diumumkan kemudian.
Pernah menang Piala Dunia dan empat gelaran Liga Perdana Inggeris
Sepanjang kariernya, Silva merupakan antara pemain tengah yang cukup berpengaruh ketika bersama Manchester City selama 10 tahun, lapor BBC.
Bersama kelab itu, beliau berjaya memenangi 11 kejuaraan utama, termasuk empat gelaran Liga Perdana Inggeris.
Namanya turut diabadikan menerusi sebuah patung di luar Stadium Etihad sebagai penghargaan terhadap sumbangannya kepada pasukan.
Di pentas antarabangsa pula, Silva membantu Sepanyol menjuarai Piala Dunia 2010 serta dua gelaran Kejohanan Eropah pada 2008 dan 2012.
Bersara pada 2023 akibat kecederaan
Untuk rekod, Silva mengumumkan persaraan daripada bola sepak profesional pada 2023 selepas mengalami kecederaan koyakan ligamen krusiat anterior (ACL) ketika menjalani latihan pramusim bersama Real Sociedad.
Keputusan untuk kembali beraksi pada usia 40 tahun pastinya menjadi perhatian peminat bola sepak, khususnya penyokong yang mengikuti perjalanan kariernya bersama Manchester City dan skuad kebangsaan Sepanyol.
Dalam video yang dikongsikan di Instagram, Silva turut meluahkan keterujaannya untuk berkunjung ke Hong Kong.
Beliau menyatakan hasrat untuk menikmati budaya tempatan, mencuba makanan di Sha Tin serta merasai pengalaman bermain bola sepak di Hong Kong.
Sementara itu, Supreme Sha Tin kini berada di tangga kelapan liga selepas mengharungi empat perlawanan. Kelab itu dijadualkan menentang Hong Kong Football Club pada 18 Oktober ini.

