Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

“Leo, Satu Sejarah Yang Akan Kekal Selamanya...” Ronaldo Titip Penghormatan Buat Messi

Penghormatan buat Messi
Kredit: Instagram @leomessi & BBC

Bintang Portugal, Cristiano Ronaldo menitipkan penghormatan buat Lionel Messi selepas bintang Argentina itu mengakhiri penampilannya bersama skuad kebangsaan dalam aksi menentang Benin.

Menerusi ruangan komen pada hantaran Instagram Messi, Ronaldo menyifatkan perjalanan panjang pemain itu dalam mempertahankan Argentina sebagai satu sejarah yang akan kekal selama-lamanya.

“Leo, setelah bertahun-tahun mempertahankan negara anda dan satu sejarah yang akan kekal selamanya. Segala hormat saya terhadap apa yang telah anda capai bersama Argentina. Satu pelukan,” tulis Ronaldo.

Komen tersebut hadir selepas Messi berkongsi kenyataan penuh emosi mengenai pengakhiran perjalanannya bersama skuad kebangsaan Argentina.

Messi akhiri perjalanan bersama Argentina

Messi tampil dalam perlawanan terakhirnya bersama Argentina ketika menentang Benin di Stadium Monumental, Buenos Aires pada 6 Oktober 2026.

Menurut laporan Associated Press (AP), Argentina menewaskan Benin 3-0 dalam aksi tersebut, dengan Messi menjaringkan satu gol menerusi sepakan penalti selain mencipta dua bantuan gol.

Perlawanan itu menjadi aksi terakhir Messi bersama Argentina di hadapan penyokong negara tersebut, sekali gus menyaksikan penghormatan diberikan kepada pemain berusia 39 tahun itu selepas lebih dua dekad mewakili skuad kebangsaan.

Selepas perlawanan tersebut, Messi mengakui dia sudah mula merindui untuk menyarung jersi biru dan putih Argentina.

“Saya tahu saya membuat keputusan yang tepat. Ia merupakan perjalanan yang luar biasa, penuh dengan kegembiraan dan juga kesedihan, tetapi saya pasti setiap langkah yang saya lalui berbaloi,” katanya.

Messi turut merakamkan penghargaan kepada keluarganya yang sentiasa berada di sisinya, selain rakan-rakan, bekas rakan sepasukan serta barisan staf kejurulatihan yang banyak membantunya sepanjang perjalanan tersebut.

Dia turut menyebut mendiang Diego Maradona dalam kenyataannya dan mengakui legenda Argentina itu mempunyai peranan dalam perjalanan bola sepak negaranya.

“Saya tidak mahu melupakan Diego, yang meletakkan negara kita di tempat yang sepatutnya dan, seperti yang selalu saya katakan, saya tahu dia membantu kami dengan berada di sini bersama kami dan juga dari syurga, dalam setiap langkah yang kami lalui,” katanya.

Messi turut berterima kasih kepada kelab-kelab yang pernah diwakilinya kerana sentiasa menghormati perasaannya dan membenarkannya memberikan komitmen kepada Argentina apabila menyarung jersi skuad kebangsaan.

Ronaldo titip penghormatan buat Messi

Dalam pada itu, komen Ronaldo terhadap hantaran Messi turut mencuri perhatian peminat bola sepak apabila mendapat lebih 3 juta tanda suka.

Kedua-duanya sering dianggap sebagai dua pemain terbaik generasi mereka dan menjadi pesaing utama sepanjang era kegemilangan masing-masing.

Kredit: Instagram @leomessi

Walaupun persaingan antara Messi dan Ronaldo sering menjadi perdebatan dalam kalangan peminat, kapten Portugal itu tetap memberikan penghormatan terhadap pencapaian Messi bersama Argentina.

Sepanjang karier antarabangsanya, Messi membantu Argentina meraih beberapa kejayaan besar termasuk Copa America 2021, Piala Dunia 2022 dan Copa America 2024.

Kini, selepas bertahun-tahun mempertahankan Argentina, Messi menutup satu lagi bab penting dalam perjalanan kariernya bersama skuad kebangsaan.

Intipati
  • Ronaldo memberi penghormatan kepada Messi menerusi komen pada hantaran Instagram pemain Argentina itu.
  • Messi beraksi kali terakhir bersama Argentina ketika menentang Benin di Stadium Monumental, Buenos Aires.
  • Argentina menewaskan Benin 3-0, dengan Messi menjaringkan penalti dan mencipta dua bantuan gol.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan