Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
KUALA LUMPUR, 11 Nov – Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1 , 2 , 3 dan Rantau Panjang telah beroperasi semula pada pukul 2.40 awal pagi tadi.
Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor) memaklumkan, ia beroperasi secara berperingkat-peringkat setelah bacaan 0 TON direkodkan sebanyak tiga kali berturut-turut.
“Sehingga pukul 7 pagi ini, keempat-empat LRA telah selesai melaksanakan aktiviti pencucian dan pengepaman di setiap bahagian dalam proses rawatan di LRA bagi memastikan kualiti air yang dibekalkan adalah bersih dan selamat, mengikut piawaian Kementerian Kesihatan (KKM).
“Pengesahan kualiti telah dilakukan di setiap bahagian dalam proses rawatan air serta kolam-kolam imbangan dan (turut) telah disahkan tiada bau oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, sistem agihan sedang diusahakan untuk distabilkan sebelum bekalan air dapat diagihkan kepada para pengguna di semua kawasan terjejas.
“Jadual pemulihan bekalan air mengikut kawasan akan dimaklumkan setelah sistem agihan bekalan air distabilkan.
“Bekalan air dijangka akan mula diterima oleh pengguna pada jam 3 petang ini secara berperingkat-peringkat mengikut kedudukan kawasan dalam sistem agihan bekalan air.
“Bantuan bekalan air alternatif akan diteruskan bagi membantu para pengguna terjejas termasuk menggerakkan sebanyak 111 lori tangki, menyediakan 14 pili awam dan membuka 17 Pusat Khidmat Setempat serta mengagihkan air minum lima (5) liter,” tambah kenyataan itu lagi.
Sebarang makluman perkembangan terkini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa melalui semua media sosial Air Selangor, laman sesawang www.airselangor.com serta aplikasi Air Selangor.
Sumber: Air Selangor
