Kajian WHO juga menganggarkan bahawa lebih kurang 35 % wanita di seluruh dunia pernah mengalami keganasan rumahtangga. Bukan sahaja didera secara fizikal malah dari segi emosi. Namun, pernahkah anda tahu apa yang dimaksudkan dengan keganasan rumahtangga dlaam perlembangaan negara kita?
Ya, di sini SK ingin berkongsi ilmu tentang maksud, dan apa yang patutu dilakukan jika seseorang mengalami keganasan rumahtangga di negara kita. Perkongsian menarik ini daripada sekumpulan peguam daripada Hassanuddin Shafarin & Ghazali menerusi laman Facebooknya.
Apa yang dimaksudkan dengan keganasan rumahtangga?
Menurut Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 [Akta 521], keganasan rumahtangga merangkumi perkara-perkara berikut;
1. Apabila si pelaku mengakibatkan kecederaan fizikal terhadap mangsa.
2. Apabila si pelaku membuatkan mangsa berasa takut dicederakan secara fizikal.
3. Mangsa diancam atau dipaksa untuk melakukan sesuatu perbuatan seksual atau selainnya yang mangsa berhak untuk tidak melakukan.
4. Si pelaku mengurung atau menahan mangsa tanpa kerelaan mangsa.
5. Si pelaku melakukan khianat atau merosakkan atau memusnahkan harta benda dengan niat menimbulkan kesedihan dan kegusaran terhadap mangsa.
Tahukah anda, Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) menganggarkan bahawa 35 peratus daripada jumlah wanita seluruh dunia pernah mengalami keganasan rumahtangga sama ada didera secara emosi atau fizikal. Ini bermakna setiap 3 wanita, 1 daripadanya mungkin pernah mengalami keganasan rumahtangga.
Jumlah tersebut merupakan satu jumlah yang membimbangkan. Kebanyakan mangsa adalah daripada golongan wanita tanpa dinafikan terdapat juga keganasan rumahtangga melibatkan mangsa lelaki.
Jika berlaku situasi keganasan rumahtangga pada diri anda, apa yang patut/boleh anda lakukan?
1. Membuat laporan dengan polis segera dan mohon bantuan untuk mendapatkan perlindungan.
2. Membuat aduan kepada pejabat kebajikan masyarakat berdekatan.
3. Menghubungi mana-mana NGO yang boleh membantu seperti Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) untuk meminta bantuan.
4. Pergi ke One Stop Crisis center (OSCC) di Hospital berdekatan untuk bantuan sekiranya anda dicederakan.
5. Dail Talian kasih yang beroperasi 24 jam.
6. Hubungi Peguam/Peguam Syarie.
Apa yang anda boleh lakukan di Mahkamah Syariah jika berlaku keganasan rumahtangga?
1. Anda boleh mohon pembubaran perkahwinan melalui Fasakh.
2. Anda boleh mohon pembubaran perkahwinan melalui takliq bagi negeri-negeri yang ada melakukan lafaz takliq selepas pernikahan.
3. Anda boleh mohon perceraian secara talak biasa, namun ini memerlukan persetujuan daripada suami (yang agak sukar dalam kes-kes begini).
4. Sepanjang perjalanan kes-kes di atas, anda boleh mohon suatu perintah injuksi tegahan kacau ganggu kepada pelaku daripada Mahkamah Syariah. Anda juga boleh mendapatkan suatu perintah tinggal berasingan dengan pelaku bagi menjaga keselamatan diri.
Jangan biarkan diri anda terus berada dalam keganasan rumahtangga. Segera ambil tindakan.
“Dan janganlah kamu menjatuhkan dirimu sendiri ke dalam kebinasaan” -al-Baqarah 195.
Sumber: Hassanuddin Shafarin & Ghazali