Siakap Keli

Indonesia Dilapor Merancang Kempen Vaksinasi COVID-19 Besar-besaran Menjelang Hujung Tahun Ini

Indonesia dilapor merancang untuk menjalankan kempen vaksinasi COVID-19 secara besar-besaran menjelang hujung tahun ini, lapor CNA semalam.

Dalam satu sidang media, Presiden Jokowi memaklumkan pihaknya kini berada di fasa perancangan untuk mengagihkan vaksin berkenaan di seluruh negara republik itu.

Sekiranya plan berkenaan diluluskan oleh Badan Pengawas Obat dan Makanan (BPOM) Indonesia, ini bermakna negara itu bakal menjadi antara negara terawal di dunia melancarkan program vaksinasi COVID-19.

Ketika ini, Indonesia dilihat berdepan kesukaran untuk mengekang pandemik COVID-19. Misalnya semalam, negara itu mencatatkan sebanyak 5,444 kes, rekod tertinggi sehari pernah dicatatkan.

Ia menjadikan jumlah kes keseluruhan kini mencecah 457,735 dan kekal menjadi negara ASEAN paling terjejas. Lebih membimbangkan, pakar-pakar kesihatan berpendapat jumlah sebenar mungkin lebih tinggi disebabkan ujian saringan yang dijalankan oleh Indonesia adalah rendah.

Selain itu, sebanyak 104 kematian baru turut dicatatkan semalam, menjadikan angka korban keseluruhan adalah 15,037, juga tertinggi di Asia Tenggara.

Jokowi turut menegaskan bahawa pihaknya sentiasa mengutamakan keselamatan vaksin yang akan digunapakai, selain mendedahkan barisan hadapan seperti petugas kesihatan, polis dan askar akan menjadi kumpulan pertama menerima suntikan vaksin.

Menurut CNA, vaksin Sinovac dan Sinopharm yang dihasilkan oleh syarikat medikal China menjadi pilihan di peringkat awal kempen vaksin berkenaan. Syarikat medikal tersebut dijangka menghasilkan sebanyak 18 juta dos vaksin, termasuk 15 juta akan dikilangkan di Indonesia oleh syarikat milik kerajaan, Bio Farma.

Secara keseluruhan, Indonesia memesan lebih daripada 250 juta dos vaksin menjelang hujung 2021. Ini termasuklah 30 juta dos vaksin yang dihasilkan oleh syarikat medikal Amerika Syarikat, Novavax.

Pemerintah Indonesia berharap, kempen vaksinasi ini akan memberikan impak positif kepada ekonomi negara itu yang disifatkan sangat penting.

Sumber: CNA

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.